SF, KPF perkasa teknologi hijau sektor perladangan

SF, KPF perkasa teknologi hijau sektor perladangan

Sustainable Future Sdn Bhd akan membekal dan menyewakan jentera berat elektrik serta perkhidmatan tambah baik bagi menukar jentera diesel kepada elektrik secara berperingkat.

Pengerusi Koperasi Permodalan Felda Mohd Banuri Aris bertukar dokumen perjanjian dengan Ketua Pegawai Eksekutif SF Armanudin Abdullah bagi kerjasama perkasa teknologi hijau sektor perladangan. (Gambar SF)
PETALING JAYA:
Sustainable Future Sdn Bhd (SF) dan Koperasi Permodalan Felda Berhad (KPF) menjalin kerjasama bagi memperkasa teknologi hijau dalam sektor perladangan.

Melalui kerjasama itu, SF yang juga syarikat bersekutu KPF diberi tanggungjawab mengendalikan operasi Pusat Mengumpul Sawit (PMS) di Felda Bukit Damar, yang kini dikenali PMS Damar Berkat.

Dalam kenyataan, SF berkata pelaksanaan itu sebahagian daripada pelan tindakan menyeluruh berlandaskan empat teras utama teknologi hijau.

Menurutnya, ia merangkumi penggunaan kenderaan elektrik perindustrian dan pengurusan logistik, pembangunan tenaga boleh diperbaharui dan sistem simpanan tenaga (BESS), pengurusan sisa bersepadu serta pelaksanaan kredit karbon menjelang 2026.

“Perjanjian ini membuka ruang untuk kami membina ekosistem hijau yang bukan hanya berdaya saing dan moden, malah membawa pulangan lebih tinggi kepada peneroka serta mengurangkan kebergantungan kepada sistem lama.

“Sebagai langkah awal, semua penghantaran Buah Tandan Segar (BTS) di PMS Damar Berkat kini menggunakan lori elektrik (EV).

“Pergerakan kenderaan dipantau melalui sistem Fleet Management System (FMS) secara masa nyata bagi memastikan efisiensi logistik dan penjimatan tenaga yang optimum,” katanya.

SF menambah transaksi BTS juga kini dilaksanakan secara digital, menggantikan sistem lama yang terlalu bergantung kepada peraih luar dan sukar diaudit.

“Kaedah ini membolehkan pemantauan lebih telus serta pengesahan terus kepada peneroka tentang kuantiti dan harga yang diperoleh.

“Harga BTS yang kami tawarkan lebih tinggi daripada pasaran luar, kerana kami mahu peneroka mendapat pulangan lebih baik,” katanya.

SF berkata pihaknya juga akan membekal dan menyewakan jentera berat elektrik serta perkhidmatan ‘retrofitting’ bagi menukar jentera diesel kepada elektrik secara berperingkat.

“Pembangunan tenaga boleh diperbaharui turut dipergiatkan melalui pemasangan lampu jalan solar serta pembinaan ladang solar bersepadu yang disokong oleh Battery Energy Storage System (BESS).

“Bagi pengurusan sisa pula, kami melaksanakan pendekatan holistik termasuk penggunaan ‘EV Compactor Trucks’ untuk kutipan sisa dan pemprosesan sisa makanan melalui sistem pelupusan terkawal,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.