
Menurut kementerian, jawatankuasa khas yang turut melibatkan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan industri itu bermesyuarat buat kali pertama di Putrajaya hari ini.
Keutamaan utama jawatankuasa itu adalah untuk memastikan Malaysia diklasifikasikan sebagai negara berisiko rendah di bawah EUDR, yang berkuat kuasa pada 30 Dis.
“Hal ini termasuklah memperkukuh sistem kebolehkesanan kebangsaan dan memastikan penyediaan data perhutanan yang boleh dipercayai bagi Penilaian Sumber Hutan Global oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO), yang menjadi asas kuantitatif bagi penilaian risiko negara di bawah EUDR.
“Jawatankuasa itu juga akan menjadi saluran utama bagi penglibatan Malaysia dengan Suruhanjaya Eropah, termasuk penyerahan set data rasmi, kemas kini dasar dan penyertaan dalam pertukaran teknikal,” kata kementerian itu dalam kenyataan.
Tambahnya, usaha ini mencerminkan komitmen kerajaan terhadap kemampanan komoditi-komoditi utama seperti minyak sawit, getah, kayu dan koko, yang eksportnya mencecah RM186 bilion tahun lepas.
EUDR pada mulanya dijadual dilaksanakan pada 30 Dis 2024, tetapi ditangguhkan kepada 30 Dis tahun ini bagi operator dan pedagang besar.
Syarikat mikro dan kecil perlu mematuhi peraturan itu selewat-lewatnya pada 30 Jun 2026.
Pada Mac, Johari berkata, kira-kira 70-80% pekebun kecil kelapa sawit Malaysia bersedia mematuhi peraturan EU itu, sambil menambah kementerian sedang berusaha membantu mereka dalam perkara ini.