
Peguam Rajesh Nagarajan, yang mewakili wanita berusia 34 tahun itu, berkata lima pegawai dari sebuah jabatan agama daerah ke rumah wanita itu sekitar 3 petang tadi.
Mereka kemudian didakwa menegur wanita itu kerana tidak bertudung sebelum memarahinya kerana menyaman kerajaan.
Mereka turut didakwa menyoal tiga anaknya, semuanya berumur 10 tahun ke bawah.
FMT tidak mendedahkan identiti wanita itu dan butiran lain demi melindunginya daripada kesan lain.
Rajesh berkata, beliau akan membuat laporan polis kerana intimidasi jenayah ke atas saksi.
“Dia terkejut dengan kejadian itu. Dia menggeletar semasa bercakap dengan saya.”
Rajesh berkata, pihak berkuasa agama “menghalang proses keadilan” dengan mengganggu anak guamnya di luar mahkamah.
“Kami turut akan memfailkan usul menghina mahkamah terhadap jabatan agama itu dan kerajaan negeri.”
Awal bulan ini, wanita itu, bersama M Indira Gandhi – ibu beragama Hindu, yang tiga anaknya ditukarkan agama secara sebelah pihak oleh bekas suaminya – memohon untuk membatalkan undang-undang yang membenarkan penukaran agama unilateral di lapan negeri.
Saman pemula itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 Mac lalu.
Mahkamah Persekutuan pada 2018 membatalkan penukaran agama sebelah pihak tiga anak Indira. Di sebalik penghakiman itu, beberapa negeri masih mengamalkan penukaran agama unilateral sejajar enakmen negeri masing-masing..