Tak serah laporan PJD Link, penduduk mohon mula prosiding hina mahkamah

Tak serah laporan PJD Link, penduduk mohon mula prosiding hina mahkamah

Penduduk berkata kerajaan Selangor belum menyerahkan dokumen itu selepas tamat tarikh akhir selama sebulan.

PJD LINK
Penduduk berulang kali membantah projek kontroversi Petaling Jaya Dispersal Link yang diluluskan pada September 2020.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi akan mendengar permohonan empat penduduk Petaling Jaya memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap seorang pegawai kanan kerajaan Selangor pada 3 Dis ini.

T Chakaravarthi, Kum Koo Ji, S Saktiseelan dan Loke Yin Pong memfailkan permohonan untuk memulakan prosiding penghinaan terhadap pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Selangor (PLANMalaysia Selangor) atas kegagalannya mematuhi perintah mahkamah menyerahkan dokumen penting berkaitan projek Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link).

Mac lalu, mahkamah memerintah kerajaan negeri menyerahkan laporan penilaian impak sosial, alam sekitar dan lalu lintas PJD Link kepada penduduk dalam tempoh 30 hari.

Ia turut mengarahkan kerajaan negeri menyediakan reka bentuk terperinci dan jajaran projek itu kepada penduduk.

Laporan itu di bawah jagaan pengarah.

Tetapi, penduduk berkata, kerajaan Selangor belum menyerahkan dokumen itu selepas tamat tarikh akhir selama sebulan.

Hakim Amarjeet Singh menetapkan pendengaran bagi memulakan prosiding menghina mahkamah oleh penduduk ketika pengurusan kes hari ini.

Mahkamah juga akan mendengar permohonan kerajaan negeri untuk menggantung keputusan 23 Mac lalu.

Penolong penasihat undang-undang negeri, Siti Radziah Kamarudin, memaklumkan mahkamah bahawa kerajaan negeri sudah memfailkan rayuan terhadap keputusan itu.

Mahkamah Rayuan menetapkan pengurusan kes pada 23 Okt ini.

Peguam Lim Wei Jiet mewakili empat penduduk terbabit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.