Mahkamah Koroner benar prosiding hina mahkamah terhadap Shafie, Mona Din

Mahkamah Koroner benar prosiding hina mahkamah terhadap Shafie, Mona Din

Presiden Warisan dan aktivis itu dilapor membuat kenyataan mengganggu inkues kematian Zara Qairina Mahathir.

Mohd Shafie Apdal
Presiden Warisan Shafie Apdal sebelum ini dilapor mempersoalkan tempoh panjang inkues selain mengaitkan kematian Zara Qairina Mahathir dengan pembunuhan.
PETALING JAYA:
Mahkamah Koroner Kota Kinabalu membenarkan permohonan Jabatan Peguam Negara (AGC) memulakan prosiding hina mahkamah terhadap Presiden Warisan Shafie Apdal berkait kes kematian Zara Qairina Mahathir.

Menurut Utusan Malaysia, aktivis Che Muna Din atau lebih dikenali Mona Din turut akan dikenakan prosiding sama.

Pada 20 Sept, Shafie pada majlis ‘Jelajah Inspirasi DSSA P187 Kinabatangan’, di Sandakan, dilapor mempersoalkan tempoh panjang inkues berkenaan dalam satu video.

Dalam video itu, Shafie kedengaran berkata: “Gadis itu telah meninggal dunia. Dia tidak dibuli, ia adalah pembunuhan. Berapa kali Bukit Aman menyoal saksi? Mereka telah menyoal orang yang sama.”

Susulan itu, AGC dalam kenyataan berkata pihaknya tidak akan teragak-agak memulakan prosiding penghinaan mahkamah terhadap Shafie, jika terbukti kenyataannya mengganggu prosiding kes Zara.

Pada 10 Sept lalu, AGC mengeluarkan notis serupa kepada Mona Din yang dalam hantaran di Facebook miliknya mempertikaikan keterangan pakar patologi forensik Hospital Queen Elizabeth, Jessie Hiu.

Zara, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai selepas ditemukan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar, pada 4 pagi hari sebelumnya.

Pada 13 Ogos, AGC mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan yang dikemukakan pihak polis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.