
Kumpulan penduduk kampung itu mendakwa mereka “secara salah dan haram” memeluk Islam pada 1993.
Plaintif pertama hingga ke-56 mendakwa wakil Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) bertemu mereka pada suatu hari, dan mereka diminta memeluk Islam pada pertemuan itu.
Bagaimanapun, penduduk kampung mendakwa mereka enggan berbuat demikian.
Plaintif ke-57 hingga ke-137 adalah keturunan 56 plaintif pertama.
Seorang individu, dikenali sebagai Bakar Unus, kemudian muncul di kampung mereka dan mengugut mereka jika enggan menukar agama, kata mereka.
Bakar didakwa memberitahu mereka, tanaman mereka akan dimusnahkan dan tidak lagi akan dibenarkan tinggal di kampung itu.
Penduduk kampung juga mendakwa mereka dipaksa mengucap dua kalimah syahadah yang tidak mereka fahami.
Tambah mereka, Bakar dan beberapa pegawai Jakoa mencatat nama mereka selepas mengucap, kemudian beredar.
Penduduk kampung berkata, beberapa tahun selepas “penukaran agama” itu, Bakar dan pegawai Jakoa yang lain datang semula ke kampung, mengambil gambar mereka dan membantu mengisi borang permohonan mendapatkan kad pengenalan.
“Plaintif pertama hingga ke-56 diberikan nama Islam tanpa mereka sedari dan/atau bersetuju,” menurut pernyataan tuntutan.
“Oleh kerana penduduk kampung tidak boleh membaca, mereka tidak faham apa yang tertera pada kad pengenalan mereka.”
Kumpulan penduduk kampung itu menegaskan, mereka tidak pernah mengamalkan Islam, sebaliknya terus mengamalkan kepercayaan animisme sehingga hari ini.
Pada 2004, salah seorang penduduk kampung, Harun Abdullah, menghubungi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) untuk mendapatkan bantuan berhubung status agama mereka.
Suhakam akhirnya menyediakan laporan pada 2013, bertajuk “Laporan Inkuiri Nasional Mengenai Hak Tanah Orang Asli”, tetapi tidak menyebut insiden “penukaran agama” pada 1993 itu.
Harun kemudian bertemu peguam dan aktivis Siti Kasim untuk mendapatkan bantuan guaman pada 2016.
Mereka mendakwa Jakoa dan kerajaan Pahang melanggar kewajipan fidusiari dengan membenarkan “penukaran agama” itu berlaku.
“Pada 1993, defendan telah mengeksploitasi pengaruh mereka ke atas Orang Asli di kampung tersebut dan, dalam melanggari kewajipan mereka terhadap Orang Asli di situ, mereka telah dengan secara salah, secara haram serta menggunakan paksaan, mengislamkan Orang Asli tersebut,” kata mereka.
Akibatnya, penduduk kampung berkata, mereka kehilangan identiti mereka sebagai orang Bateq Tanum kerana terpaksa menganut dan mengamalkan agama yang tidak pernah mereka setujui.
Selain meminta perintah untuk membatalkan status agama mereka, penduduk kampung itu juga mahu ganti rugi diberikan kerana hak perlembagaan mereka dilanggar.
Selain Bakar dan Jakoa, saman itu menamakan kerajaan negeri dan persekutuan serta Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang sebagai defendan.