Kes 3 beradik dirantai, KPM semak status pendidikan

Kes 3 beradik dirantai, KPM semak status pendidikan

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata pihaknya akan meneliti sama ada tiga beradik itu bersekolah atau tidak selain menunggu laporan lengkap insiden berkenaan.

Terdahulu media melaporkan penahanan seorang wanita berusia 46 tahun di Kangar selepas dipercayai merantai kaki tiga anaknya termasuk dua daripadanya OKU. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Kementerian Pendidikan (KPM) akan menyemak status pendidikan tiga beradik di sebuah kampung di Perlis yang dipercayai mangsa dera ibu mereka, untuk tindakan selanjutnya.

Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata ketika ini pihaknya sedang menunggu laporan lengkap mengenai insiden berkenaan, selepas beberapa agensi berkaitan turut membantu kanak-kanak tidak bernasib baik itu.

“Kita tengah periksa keadaan mereka dan pada ketika ini (usaha membantu) di bawah kementerian lain dulu yang menyelamatkan (tiga beradik terbabit).

“Bagi pihak kita, (KPM) akan semak (status pendidikan) sama ada mereka (tiga beradik itu) bersekolah atau tidak yang apabila kita lihat pada masa ini keadaan mereka nampak tidak begitu baik,” katanya menurut Berita Harian.

Beliau mengulas berhubung status pendidikan tiga beradik yang dipercayai menjadi mangsa dera dalam kejadian di Kampung Tambun Tulang, Simpang Empat, Perlis.

Terdahulu, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal ditemui pada Majlis Iftar bersama pelajar serta komuniti setempat di Pusat Islam Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM), malam tadi.

Dalam kejadian malam kelmarin, tiga beradik berusia 13 hingga 16 tahun ditemui orang awam dalam keadaan kaki berantai di tepi jalan di kampung berkenaan.

Semasa ditemui, dua daripada mangsa dirantai bersama di bahagian kaki, manakala seorang lagi tidak dirantai.

Hasil semakan polis seterusnya juga mendapati dua daripada mangsa memiliki kad Orang Kurang Upaya (OKU) iaitu bagi masalah pendengaran dan pembelajaran.

Semua mangsa yang menerima rawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) kini dilaporkan stabil.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.