
Lee dalam kenyataan berkata, pejabatnya mengeluarkan satu surat rasmi kepada MBPJ selepas video insiden itu tular.
“Pejabat saya memohon pencerahan daripada MBPJ mengenai SOP sekiranya ada yang digunapakai ketika operasi menangkap anjing liar.
“Ini termasuk tatacara pegawai yang terlibat ketika operasi berkenaan. Saya berharap siasatan secara terperinci dijalankan oleh unit integriti dan perkara ini tidak berulang lagi,” katanya.
Dalam video tular itu, seorang lelaki warga emas dilihat “diserang” pasukan penguat kuasa MBPJ ketika cuba melindungi anjing miliknya daripada ditangkap.
Seorang anggota penguat kuasa juga dilihat memukul lelaki itu dengan batang besi yang digunakan untuk menangkap anjing.
Kejadian itu dilaporkan berlaku di Taman Kanagapuram, off Jalan Klang Lama, Petaling Jaya, malam tadi.
Dalam jawapan kepada NST, MBPJ berkata pihaknya menjalankan siasatan berhubung kejadian dalam video tular itu.