800 pekerja domestik Indonesia tiba melalui sistem ‘One Channel’

800 pekerja domestik Indonesia tiba melalui sistem ‘One Channel’

Malaysia dan Indonesia memeterai memorandum yang peruntuk jaminan bayaran upah, perlindungan, dan kebajikan kepada pekerja domestik Indonesia.

Malaysia dan Indonesia memeterai Memorandum Persefahaman Penggajian dan Perlindungan Pekerja Domestik Indonesia di Malaysia pada 1 April 2022.
KUALA LUMPUR:
Seramai 800 pekerja domestik Indonesia memasuki Malaysia melalui sistem “One Channel” sehingga 20 Jan lepas, kata Kementerian Sumber Manusia.

Malaysia dan Indonesia memeterai Memorandum Persefahaman Penggajian dan Perlindungan Pekerja Domestik Indonesia di Malaysia pada 1 April 2022, yang memperuntukkan jaminan bayaran upah.

“Gaji permulaan bulanan di bawah memorandum persefahaman ini, tidak boleh kurang daripada kadar gaji minimum yang sedang berkuat kuasa di negara ini iaitu RM1,500,” menurut KSM dalam jawaban bertulis kepada Dewan Rakyat.

Kementerian menjawab soalan Teresa Kok Suh Sim (PH-Seputeh) mengenai bilangan pekerja domestik Indonesia yang datang bekerja di Malaysia melalui sistem “One Channel”.

Memorandum itu juga memperuntukkan perlindungan dan kebajikan kepada pekerja domestik Indonesia, antaranya hak kepada notis penamatan kontrak pekerjaan, cuti tahunan berbayar, cuti rehat mingguan, waktu rehat, serta perlindungan sosial, termasuk insurans.

“Pemantauan ke atas pelaksanaan memorandum persefahaman termasuk kos penempatan dan tarif fi agensi pekerjaaan swasta di Malaysia dan agensi pekerjaaan swasta di Indonesia, dilaksanakan melalui Mesyuarat Kumpulan Kerja Bersama (JWG) di antara kedua-dua negara,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.