
“Kami tiada sebab untuk menangguhkan sebarang permohonan dan tempoh maksimum yang kami ambil untuk memproses dan meluluskan (permohonan) hanya tiga hari jika semua dokumen lengkap,” katanya kepada FMT ketika ditanya mengenai aduan bahawa ketibaan pembantu rumah dari Indonesia sangat lambat.
Beliau berkata, 115 pembantu rumah telah tiba setakat ini dengan sebanyak 537 kontrak pekerjaan telah disokongnya sejak memorandum persefahaman (MoU) mengenai pengupahan dan perlindungan pembantu rumah Indonesia ditandatangani pada 1 April.
Kumpulan pertama 17 pembantu rumah tiba pada Ogos, tambah Hermono.
“Kami juga tidak akan tahu sama ada pembantu rumah memasuki negara ini atau tidak selepas menyokong (permohonan), melainkan agensi memaklumkan kepada kami,” katanya.
Presiden Persatuan Agensi Pekerjaan Malaysia (Papa) Foo Yong Hoo berkata, ahli-ahlinya mengadu bahawa mereka menghadapi masalah mendapatkan visa dan cuba mendapatkan pegawai dari Jabatan Buruh dan Jabatan Imigresen untuk mengadakan seminar bagi menjelaskan prosedur terbabit.
“Agensi-agensi agak keliru kerana keadaan tidak begitu jelas selepas Sistem Maid Online (SMO) dihentikan,” katanya.
“Saya tidak mahu menyalahkan sesiapa atas apa yang berlaku. Apa yang kami mahu adalah agar pihak berkuasa menjelaskan perkara itu,” katanya kepada FMT ketika dihubungi.
Mengikut SMO, pekerja domestik Indonesia memasuki Malaysia dengan visa pelancong dan kemudian memohon permit kerja tetapi ini digantikan dengan Sistem Saluran Tunggal (OCS) mengikut MoU. SMO telah dihentikan sejak 15 Ogos.
OCS menetapkan bahawa semua permohonan bagi mendapatkan pembantu rumah Indonesia mesti melalui platform bersepadu kedutaan Indonesia dan Jabatan Imigresen Malaysia.
Bakal majikan menyerahkan dokumen dan kontrak kepada Jabatan Imigresen untuk ditapis kelayakan sebagai majikan.
Data tersebut kemudiannya dihantar ke kedutaan melalui platform bersepadu dan sebaik sahaja duta mengesahkan kontrak pekerjaan, Jabatan Imigresen akan mengeluarkan visa dengan nombor rujukan.