Kekal sistem ambil pekerja asing bawah Kementerian Sumber Manusia, kata majikan

Kekal sistem ambil pekerja asing bawah Kementerian Sumber Manusia, kata majikan

Persekutuan Majikan Malaysia berkata, pengambilan dan pengurusan pekerja asing di bawah kementerian itu lebih menjimatkan masa dan kos.

Persekutuan Majikan Malaysia berharap Kementerian Sumber Manusia kekal mentadbir serta menguruskan pengambilan pekerja asing di bawah Sistem Satu Saluran. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) mencadangkan pengambilan dan pengurusan pekerja asing, termasuk pembantu rumah asing dikekalkan di bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM) bagi memastikan keberkesanan perniagaan.

MEF berharap KSM kekal mentadbir serta menguruskan pengambilan pekerja asing di bawah Sistem Satu Saluran (OCS).

“KSM berada dalam kedudukan lebih baik bagi melaksanakan kelulusan diperlukan dan bukannya penglibatan rentas kementerian, yang membuang terlalu banyak masa dengan birokrasi, selain meningkatkan kos.

“MEF percaya KSM sebagai pihak yang mengawal selia pekerja asing bekerja dengan majikan dan kesatuan, sebaiknya menjadi kementerian sehenti untuk menguruskan OCS,” kata Presiden MEF, Syed Hussain Syed Husman dalam kenyataan.

Beliau berkata, di bawah prinsip kerjasama tiga pihak ini, majikan dan pekerja serta kesatuan sekerja mengadakan banyak mesyuarat dengan KSM untuk membincangkan dasar buruh dan menyelesaikan perkara berkaitan sumber manusia.

“Justeru, pegawai KSM daripada Jabatan Tenaga Kerja, Jabatan Tenaga Manusia, Jabatan Pembangunan Kemahiran serta Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan lebih maklum mengenai situasi sebenar di lapangan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.