Kelulusan OSC 3.0 Plus dikurang kepada 21 hari, 5 agensi, kata PM

Kelulusan OSC 3.0 Plus dikurang kepada 21 hari, 5 agensi, kata PM

Sebelum ini tempoh kelulusan OSC 3.0 Plus adalah 42 hari dan 19 agensi wajib dirujuk.

Anwar Ibrahim mempengerusikan mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara ke-41 semalam yang turut dihadiri menteri besar dan ketua menteri. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Prosedur Pusat Setempat (OSC) 3.0 Plus ditambah baik dengan tempoh kelulusan dikurangkan kepada 21 hari, manakala agensi wajib dirujuk untuk kelulusan dikurangkan kepada lima agensi, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Katanya, perkara itu antara penambaikan dipersetujui mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) ke-41 yang diadakan semalam antara pihak berkepentingan, termasuk kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.

Sebelum ini, tempoh kelulusan OSC 3.0 Plus, iaitu sistem penyampaian prosedur pemajuan yang antara lain digunakan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menerima permohonan pemajuan adalah 42 hari, manakala agensi wajib dirujuk sebanyak 19 agensi.

“Antara keputusan yang dipersetujui termasuk keperluan pihak berkuasa negeri (PBN) dan PBT mempercepatkan tempoh kelulusan pembangunan, sekali gus memudahkan urusan perniagaan,” katanya menerusi catatan Facebook.

Beliau berkata, usaha mempercepatkan tempoh kelulusan pembangunan itu secara tidak langsung diyakini mampu menambah baik persekitaran pelaburan, selain meningkatkan daya saing negara.

Selain itu, katanya, mesyuarat turut membincangkan cadangan pengukuhan sektor pertanian, terutama keperluan menetapkan keluasan guna tanah bagi tujuan pengeluaran pertanian dan sumber makanan negara.

“Dalam hal ini, penekanan harus diberikan kepada peningkatan produktiviti pertanian,” katanya.

Beliau berkata, MPFN juga berpandangan aspek kawal selia pengurusan dan pembangunan ladang ternakan perlu diperkasakan menerusi pemakaian Garis Panduan Perancangan Ladang Penternakan Ayam.

Sementara itu, cakna dengan isu banjir kilat, MPFN bersetuju Pemakaian Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) dalam Pembangunan Tanah perlu diaplikasikan sebagai penyelesaian dalam menangani isu banjir kilat.

Anwar berkata, MPFN akan terus memastikan perancangan pembangunan bandar bergerak kepada Perbandaran Madani untuk meningkatkan kualiti kehidupan rakyat dan mewujudkan persekitaran berdaya huni.

“Kerajaan kekal komited meneruskan kerjasama dan penyelarasan pembangunan di antara kerajaan persekutuan serta kerajaan negeri demi mencapai agenda membangun negara Madani. Insya-Allah.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.