
Ketua Polis Shah Alam, Iqbal Ibrahim, memberitahu FMT pihaknya sedang menunggu arahan selanjutnya.
“Kertas siasatan ada di pejabat timbalan pendakwa raya. Kami menunggu arahan (lanjut) mereka,” katanya.
Pada 22 Feb, kes itu dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara dengan polis diarah melakukan siasatan lanjut untuk mendapatkan laporan daripada Jabatan Forensik melibatkan telefon bimbit suspek.
Ketika dihubungi, peguam yang juga aktivis, Rajesh Nagarajan, kecewa kelewatan tindakan berhubung kes itu.
“Sudah lebih dua bulan sejak laporan polis dibuat. Terlalu lembap,” katanya.
Pada 15 Feb, polis menafikan dakwaan tiada tindakan diambil sejak laporan dibuat melibatkan dakwaan penyeksaan anak kera berekor panjang.
Ketua Komunikasi Korporat Polis, A Skandaguru, berkata siasatan sudah berjalan dan suspek juga telah dikenalpasti.
Kenyataan polis itu sebagai maklum balas terhadap kumpulan hak asasi haiwan, Hak Asasi Hidupan Liar Malaysia (Hidup), mendakwa polis tidak mengambil tindakan susulan laporan dibuat, pada 20 Jan.
Hidup memfailkan laporan dakwaan penyeksaan anak kera itu selepas menerima maklumat daripada kumpulan kebajikan haiwan, Lady Freethinker dari Amerika Syarikat, dan Action for Primates dari United Kingdom.
Pelaku dikatakan merakam aksi penyeksaan primat itu dan menjual “teaser” video berkenaan dalam kumpulan Telegram dinamakan, “Monkey Haters”.
Menggelar video itu sebagai “porno penyeksaan”, Rajesh berkata, paparan video menunjukkan anak kera berkenaan dicacat, dipotong, dihentak objek tumpul, dibakar, direbus, dan dilapah hidup-hidup.
Katanya, pelaku juga didakwa mengenakan bayaran sekiranya ada pihak dalam kumpulan Telegram itu ingin melihat kandungan penuh rakaman.