Iklan tak beretika jejas persatuan pergigian

Iklan tak beretika jejas persatuan pergigian

Persatuan Pengamal Pergigian Swasta Malaysia berkata iklan perkhidmatan oleh klinik swasta adalah bertentangan dengan kod etika profesional dan Akta Pergigian 2018.

Pada 2016, jumlah pengamal pergigian yang aktif ialah 7,186 orang dan meningkat secara berterusan sejak beberapa tahun lalu. (Gambar Freepik)
PETALING JAYA:
Sebuah persatuan pergigian melahirkan kebimbangan terhadap peningkatan trend “pengiklanan tidak beretika” oleh klinik swasta, dan memberi amaran boleh menjejaskan kualiti rawatan.

Persatuan Pengamal Pergigian Swasta Malaysia (MPDPA) berkata, beberapa doktor gigi swasta telah menawarkan promosi dan pakej di media sosial.

Jurucakapnya, Dr Mahendran Ponnudurai, berkata taktik sedemikian bertentangan dengan kod etika profesional dan Akta Pergigian 2018.

Mahendran mendakwa, perkara ini bertambah buruk dengan berlaku peningkatan 50% iklan sedemikian dalam tempoh dua tahun lalu.

Persatuan Pengamal Pergigian Swasta Malaysia bimbang beberapa iklan promosi tidak beretika di media sosial.

“Februari lalu, terdapat promosi Hari Valentine. Saya menerima panggilan daripada rakan doktor gigi di Singapura mempersendakan profesion pergigian di Malaysia. Kami menjadi bahan ketawa,” Mahendran, bekas presiden MPDPA, memberitahu FMT.

Beliau berkata, promosi seumpama itu antara lain mengurangkan bayaran dikenakan klinik pergigian swasta lain, menimbulkan persoalan mengenai integriti klinik dan kualiti rawatan disediakan.

Katanya, pemberian diskaun akan memberi kesan kepada kualiti penjagaan.

Mahendran berkata, MPDPA telah bekerjasama dengan Majlis Pergigian Malaysia untuk membendung pengiklanan tidak beretika, selain banyak aduan telah dirujuk kepada majlis dan pesalah telah didakwa.

“Malangnya, pesalah masih mengulanginya dengan terus mengiklan secara tidak beretika dan tidak mempedulikannya. Kami menganggap hukuman dikenakan tidak cukup setimpal untuk menghalang mereka,” katanya.

Beliau berkata, salah satu sebab sesetengah doktor pergigian swasta menggunakan taktik tidak beretika adalah persaingan sengit antara klinik pergigian swasta yang “tumbuh bagaikan cendawan”.

Pada 2016, jumlah pengamal pergigian yang aktif ialah 7,186 orang dan angka itu meningkat secara berterusan.

Pada 2021, seramai 12,574 pengamal pergigian telah diberikan Sijil Perakuan Pengamalan Tahunan (APC).

Selangor mempunyai bilangan pengamal pergigian paling ramai, baik di sektor awam mahupun swasta, diikuti Kuala Lumpur. Kedua-duanya menyumbang 33.1% daripada pengamal pergigian di negara ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.