Badan doktor pergigian tolak dakwaan berdepan pembatalan

Badan doktor pergigian tolak dakwaan berdepan pembatalan

Presiden MDA Dr Chong Zhen Feng berkata menteri dalam negeri dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan memberi jaminan ia tidak akan berlaku.

Kepimpinan MDA berdepan beberapa cabaran sepanjang tahun lalu, termasuk dakwaan ia menghadapi pembatalan pendaftaran serta menjanjikan wang untuk membeli bangunan tanpa penilaian sewajarnya.
PETALING JAYA:
Persatuan Doktor Pergigian Malaysia (MDA) tidak berisiko untuk dibatalkan pendaftarannya, bukan seperti didakwa dalam catatan sebuah blog baru-baru ini, kata presidennya Dr Chong Zhen Feng.

Chong berkata jaminan itu diberikan kepada MDA apabila beliau bertemu Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dan pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) persekutuan dan Selangor pada Disember tahun lalu untuk membincangkan dakwaan terhadap kepimpinan oleh beberapa ahli.

JPPM terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Blog yang menggunakan nama ‘Dental Associations in Malaysia’ itu, dalam satu catatan pada 21 Julai, mendakwa bahawa MDA sedang menghadapi pembatalan pendaftaran.

Dr Chong Zhen Feng.

Chong berkata beliau telah bertemu sendiri dengan Saifuddin di Dewan Parlimen pada Disember, diikuti satu lagi pertemuan dengan dua pengarah JPPM.

Ini selepas beberapa aduan dikemukakan kepada JPPM oleh ahli dengan dakwaan berlaku salah urus pertubuhan, yang mendorong pengawal selia meminta penjelasan.

“Dalam kedua-dua pertemuan itu, ia dilakukan secara mesra dan membina serta kami diberi jaminan bahawa mereka tidak berhasrat membatalkan pendaftaran MDA,” katanya dalam surat kepada ahli minggu lepas.

Chong berkata dalam catatan terbaharu yang disifatkannya sebagai ‘berniat jahat’, adalah yang catatan ketujuh menentang MDA ‘untuk memburukkan kepimpinan dan memecahbelahkan ahli’.

Beliau berkata MDA telah membuat laporan kepada polis, Kementerian Komunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menangani ‘serangan tanpa nama’ terhadap kumpulan itu.

Beliau menambah bahawa mereka juga telah mendapatkan nasihat undang-undang untuk meneliti tindakan selanjutnya.

Chong, yang dilantik sebagai presiden pada Disember, merayu ahli supaya mempercayai kepimpinan berusia tiga bulan untuk membantu membina organisasi.

MDA juga mempertikaikan dakwaan lain, yang dibuat di blog yang sama, bahawa ia sengaja mengadakan mesyuarat agung tahunannya pada 4 Mei di Kota Kinabalu untuk mengelak penelitian oleh ahli yang berpangkalan di Lembah Klang, menyebabkan hanya 70 daripada 5,000 ahlinya hadir.

Persatuan itu sebelum ini menjelaskan tempat itu dipilih untuk menempatkan lebih 500 ahli yang berpangkalan di Sabah dan Sarawak.

Satu lagi catatan di blog itu mendakwa presiden telah menjanjikan wang kepada bahagian Sabah dan Sarawak untuk membeli bangunan tanpa penilaian oleh sebarang jawatankuasa penilaian.

Pada 2014, MDA telah dibatalkan pendaftaran oleh JPPM tetapi tindakan itu diterbalikkan semula selepas rayuan sebulan kemudian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.