
Kata kumpulan itu, langkah mesti diambil untuk memastikan keselamatan semua terbabit dalam filem itu yang kini disiasat kerana didakwa mencetuskan provokasi agama.
Mereka berkata, kebebasan bersuara terpakai untuk semua jenis idea, termasuk yang boleh menyebabkan kesalahan atau mencabar kepercayaan agama.
“Menghasilkan filem, yang mungkin dilihat segelintir pihak sebagai menghina agama, dilindungi di bawah hak kebebasan bersuara,” kata kumpulan itu dalam kenyataan bersama.
Antara kumpulan yang menandatangani kenyataan itu adalah Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Tenaganita, Sisters in Islam (SIS), Inisiatif Utara-Selatan, peguam Ambiga Sreenevasan dan Marina Mahathir, anak bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
Menurutnya, plot cerita filem itu mungkin bersifat provokatif, tetapi ia tidak menimbulkan kebencian.
Baru-baru ini, pengarah filem itu, Khairi Anwar dilaporkan menerima ugutan bunuh, manakala keretanya dan seorang lagi pelakon, Arjun Thanaraju disimbah cat merah serta asid.
“Mentega Terbang” yang menyentuh perbezaan dan kesamaan agama utama di Malaysia, mendapat kritikan sebahagian masyarakat, termasuk artis. Filem itu terdapat dalam talian sejak 2021.
Polis sedang menyiasat mereka yang terbabit dalam filem itu, selepas lapan laporan dibuat terhadapnya.
“Siasatan terhadap pelakon dan penerbit filem ‘Mentega Terbang’ adalah cubaan terang-terangan untuk menghalang kebebasan bersuara di negara ini menerusi gangguan dan ugutan,” kata kumpulan itu.
Awal bulan ini, sebuah lagi kumpulan NGO, termasuk penulis dan penerbit mempersoalkan sikap pasif kerajaan dalam menangani ancaman terhadap pembuat dan penerbit filem itu.