
Pentadbiran lepas dalam Belanjawan 2022 mengumumkan cadangan mengenakan duti eksais ke atas produk penyediaan pra-campuran dengan kandungan gula yang tinggi melebihi nilai ambang 33.3 gram/100 gram, cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan penghantaran barang, dan cukai jualan ke atas barang bernilai rendah (low value goods atau LVG).
Tarikh kuasa kuasa ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak, kata Kementerian Kewangan dalam kenyataan.
“Hal ini juga dapat memberi ruang kepada pihak industri untuk membuat penyelarasan ke atas model perniagaan mereka, pelaksanaan latihan, dan penyediaan dokumentasi.
“Selain itu, kerajaan juga dapat memperhalusi semua aspek perundangan berkaitan bagi memastikan isu pelaksanaan dapat ditangani dengan sewajarnya,” katanya.
Cadangan duti baharu itu meluaskan pelaksanaan duti eksais ke atas produk minuman bergula, yang berkuat kuasa 1 Julai 2019.
Ia meneruskan usaha kerajaan membendung peningkatan diabetes, obesiti dan lain-lain penyankit yang dikaitkan dengan pemakanan tidak seimbang.
Cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan penghantaran barang meluaskan skop kenaan cukai perkhidmatan untuk meliputi perkhidmatan oleh syarikat bukan kurier.
Ia bertujuan memberikan layanan sama rata antara semua penyedia perkhidmatan penghantaran barang, dan buat masa ini hanya syarikat kurier sahaja dikenakan cukai perkhidmatan.
Cukai jualan ke atas LVG pula meluaskan skop kenaan cukai untuk meliputi barang bernilai RM500 ke bawah yang dijual secara dalam talian oleh peniaga luar negara dan diimport ke Malaysia.
Ia bagi memberikan layanan sama rata di antara barangan keluaran temaptan dan barangan yang diimport.