
Inisiatif Penyelidikan Sosial dan Ekonomi (Seri) menyifatkan kenaikan cukai tembakau itu sebagai langkah penting ke arah memperkukuh dasar kesihatan awam, kerana cukai yang lebih tinggi dapat mengurangkan tabiat merokok dan seterusnya meningkatkan tahap kesihatan masyarakat.
Seri menegaskan bahawa ia adalah kenaikan cukai tembakau pertama dalam tempoh sedekad dan harga rokok menjadi mampu milik berbanding pendapatan dan kadar inflasi semasa.
“Ini adalah langkah ke arah yang betul ketika negara masih bergelut dengan isu kesihatan awam berkaitan nikotin. Kami menantikan perkembangan positif selanjutnya dan berharap langkah ini menjadi amalan tahunan,” kata Pengarah Urusan Seri, Rashaad Ali.
Penyelidik kanan Seri, Daniel Kittu, berkata kenaikan dua sen bagi setiap batang rokok adalah jauh lebih rendah daripada yang disarankan oleh badan pemikir itu, namun tetap dianggap signifikan.
Beliau juga memuji kenaikan cukai bagi produk tembakau dipanaskan serta pengecualian untuk sesetengah produk terapi penggantian nikotin, yang menurutnya dapat membantu perokok berhenti daripada tabiat tersebut.
Duti eksais rokok akan meningkat sebanyak dua sen sebatang dan RM40 sekilogram bagi cerut, cheroot dan cigarillos mulai 1 November.
Produk tembakau dipanaskan turut akan dikenakan tambahan cukai sebanyak RM20 sekilogram bagi kandungan tembakau, manakala duti eksais bagi produk minuman keras akan meningkat sebanyak 10%.
Cukai rokok kali terakhir dinaikkan pada September 2014, apabila ia meningkat daripada 28 sen kepada 40 sen sebatang.