Cukai atas sewaan PMKS turun kepada 6%

Cukai atas sewaan PMKS turun kepada 6%

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata sebelum ini cukai perkhidmatan sewaan ditetapkan lapan peratus.

SME-PKS
Pada Julai 2025, cukai lapan peratus itu dikenakan melibatkan sewaan premis bukan kediaman seperti pejabat, gudang, dan aset komersial. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata cukai perkhidmatan ke atas sewaan bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) akan dikurangkan kepada enam peratus daripada lapan peratus sebelum ini.

Pada Julai 2025, cukai lapan peratus itu dikenakan melibatkan sewaan premis bukan kediaman seperti pejabat, gudang, dan aset komersial.

“Tentang cukai perkhidmatan ke atas sewaan, ini memang jadi masalah kerana dari kosong naik lapan.

“Setakat ini, saya hanya mampu mengurangkan kepada enam peratus dengan kehilangan pendapatan hampir setengah bilion ringgit setahun,” kata Anwar ketika menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2026 pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri.

Beliau juga berkata, bagi PMKS yang baharu ditubuhkan, mereka akan menikmati penangguhan cukai perkhidmatan ke atas sewaan selama setahun.

Sementara itu, Anwar yang juga menteri kewangan berkata nilai ambang pengecualian cukai akan dinaikkan kepada PMKS dengan perolehan tahunan sehingga RM1.5 juta.

Beliau berkata, sebelum ini pengecualian cukai perniagaan adalah bagi perolehan tahunan RM500,000 hingga RM1 juta.

“Kita dengan ini memutuskan supaya dikecualikan atas PMKS dengan nilai jualan tahunan dari RM500,000 ke RM1 juta dan sekarang pengecualiannya sehingga RM1.5 juta.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.