Jenayah komersial P Pinang catat kerugian RM50 juta tahun ini

Jenayah komersial P Pinang catat kerugian RM50 juta tahun ini

Terdapat 110 kes pecah amanah dan pemalsuan dengan kerugian mencecah RM26 juta, manakala 831 kes penipuan dalam talian membabitkan kerugian berjumlah RM24 juta.

Kes penipuan panggilan telefon atau ‘macau scam’ paling banyak direkodkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pulau Pinang, dengan 183 kes membabitkan kerugian RM12 juta. (Gambar AFP)
PETALING JAYA:
Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pulau Pinang membuka 941 kertas siasatan membabitkan pelbagai kesalahan jenayah komersial dengan kerugian berjumlah RM50 juta sejak 1 Jan lalu hingga semalam.

Daripada jumlah itu, kata Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Fisol Salleh, terdapat 110 kes pecah amanah dan pemalsuan dengan kerugian mencecah RM26 juta, manakala 831 kes penipuan dalam talian membabitkan kerugian berjumlah RM24 juta.

Katanya, kes penipuan panggilan telefon atau “macau scam” paling banyak direkodkan daripada 831 kes penipuan dalam talian, iaitu 183 kes dengan kerugian RM12 juta, diikuti 83 kes penipuan pelaburan membabitkan kerugian RM5 juta dan lain-lain kes penipuan dalam talian melibatkan kerugian RM7 juta.

“Kejayaan paling besar JSJN Pulau Pinang ialah melalui Op Pelican dengan penahanan tiga lelaki yang menjalankan kegiatan penipuan dalam talian bulan lepas.

“Serbuan ke atas calling centre (pusat operasi) membolehkan polis merampas pelbagai kad sim, telefon bimbit, kad debit, komputer riba dan buku mengandungi promosi perjudian serta pelbagai dokumen.

“Selain itu, 398 orang ditahan kerana terlibat dalam kes jenayah komersial di Pulau Pinang sejak awal Januari hingga semalam,” katanya menurut Bernama.

Dalam perkembangan lain, Fisol berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri menahan 2,878 orang, termasuk 60 remaja berusia 18 tahun ke bawah sejak 1 Jan hingga 28 Feb lalu kerana terlibat dadah.

Sepanjang tempoh sama, katanya, JSJN Pulau Pinang turut merampas pelbagai dadah bernilai RM2.98 juta dan nilai sitaan harta RM2.98 juta, dengan 40 kertas siasatan dibuka.

Beliau berkata, tujuh sindiket pengedaran dadah jenis heroin, ketamin, ganja dan syabu turut tumpas menerusi beberapa siri Op Mutiara sepanjang tempoh sama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.