Anwar jamin hapus peruntukan sekat kebebasan mahasiswa dalam Auku

Anwar jamin hapus peruntukan sekat kebebasan mahasiswa dalam Auku

Perdana menteri berkata, prinsip kerajaan kini adalah untuk memberi kebebasan akademik dan perkara itu telah dibincangkan dengan Menteri Pendidikan Tinggi Khaled Nordin.

Kerajaan merancang meminda Seksyen 15 Auku 1971 yang memberi kebebasan mahasiswa berpolitik, menjadi ahli dan calon mana-mana parti politik. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Peruntukan dalam Akta Universiti Kolej Universiti (Auku) 1971 yang menyekat kebebasan mahasiswa dan pensyarah akan dihapuskan, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata prinsip kerajaan kini adalah untuk memberi kebebasan akademik dan perkara itu telah dibincangkan dengan Menteri Pendidikan Tinggi Khaled Nordin.

“Saya beri jaminan peruntukan menyekat kebebasan mahasiswa dan pensyarah akan dihapuskan,” katanya menjawab soalan berhubung Auku pada program Youth Empowerment Fair 2023 (YEF 2023) hari ini.

Pada 16 Mac lalu, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Mohammad Yusof Apdal dilaporkan berkata, kerajaan belum bercadang memansuhkan Auku 1971, namun berpendapat akta berkenaan lebih sesuai dipinda.

“Auku adalah akta penting, relevan dan berfungsi dengan baik. Sebarang kelemahan dalam Auku boleh diperhalusi dan ditambah baik melalui pindaan, bukan pemansuhan secara keseluruhan,” katanya.

Yusof berkata antara pindaan dirancang adalah terhadap Seksyen 15 yang memberikan kebebasan kepada mahasiswa untuk berpolitik, termasuk menjadi ahli dan calon mana-mana parti politik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.