Tiada rancangan tubuh Lembaga Durian, kata kementerian

Tiada rancangan tubuh Lembaga Durian, kata kementerian

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan percaya industri durian boleh berdiri sendiri tanpa intervensi kerajaan, berdasarkan nilai eksport yang semakin tinggi.

Menurut MAFS, pengeluaran durian pada 2016 adalah sebanyak 302,646 tan dan meningkat kepada 459,747 tan (52%) pada tahun lepas. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan tidak bercadang menubuhkan Lembaga Durian bagi mengawal selia industri buah tersebut yang semakin berkembang dan mendapat permintaan tinggi dari luar negara.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) berkata, pihaknya percaya industri durian boleh berdiri sendiri tanpa intervensi kerajaan, berdasarkan nilai eksport yang semakin meningkat.

Bagaimanapun, MAFS berkata, sekiranya terdapat keperluan pada masa depan, cadangan penubuhan Lembaga Durian akan diteliti dari pelbagai sudut.

“(Ini) supaya asas penubuhannya tidak mengganggu industri durian yang sedang berkembang pesat akibat kerenah birokrasi dan pertindihan fungsi yang mungkin wujud daripada penubuhan lembaga tersebut,” menurut kementerian menerusi jawapan kepada pertanyaan lisan yang dimuat naik di laman sesawang Parlimen.

MAFS menjawab pertanyaan Chow Yu Hui (PH-Raub) sama ada kementerian bersedia untuk menubuhkan Lembaga Durian bagi memacu serta memodenkan industri durian.

Durian antara buah tempatan yang mendapat permintaan tinggi untuk pasaran tempatan dan eksport.

Menurut MAFS, pengeluaran durian pada 2016 adalah sebanyak 302,646 tan dan meningkat kepada 459,747 tan (52%) pada 2022.

Nilai eksport durian pula berkembang kepada 107% atau RM 74.8 juta dalam tempoh lima tahun.

Negara paling banyak mengimport durian dari Malaysia termasuk Hong Kong, China, Singapura, Amerika Syarikat dan Australia, menurut kementerian.

“Perkembangan positif tanaman durian bukan sahaja dirangsang oleh kerajaan melalui kementerian tetapi juga didorong oleh industri sehingga pelbagai produk industri hiliran berasaskan durian turut berkembang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.