
Amirudin berkata ketetapan itu dibuat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bagi menjunjung titah terbaharu Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang tidak perkenan penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di negeri itu.
“Melangkah ke hadapan, kerajaan negeri tidak akan meneruskan pemberian lesen penternakan babi kepada mana-mana pihak di Selangor.
“Bagi ladang penternakan yang beroperasi sebelum ini, kawasan tersebut akan ditutup dengan kadar lebih pantas secara berperingkat dengan kerjasama Jabatan Veterinar,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, 70% keperluan masyarakat bukan Islam bagi daging babi bersumberkan import dari negeri lain dan selepas keputusan itu, keseluruhan keperluan itu akan diimport sepenuhnya oleh industri terbabit.
“Keputusan ini diambil bagi menjaga sensitiviti masyarakat yang khuatir terhadap impak ladang penternakan ini kepada alam sekitar termasuk saliran air dan pencemaran bau.
“Dengan keputusan ini, sebarang polemik berkaitan isu babi harus dihentikan dan tidak dipanjangkan oleh mana-mana pihak yang mungkin bertujuan menggugat keharmonian dan menimbulkan perasaan syak wasangka di antara masyarakat yang berbilang kaum dan agama,” katanya.
Selasa lalu, Sultan Sharafuddin bertitah supaya isu penternakan babi di Selangor ditamatkan sepenuhnya berikutan kesan terhadap alam sekitar serta mengambil kira komposisi demografi penduduk negeri itu.
Justeru itu, Sultan Sharafuddin bertitah supaya kerajaan dapat memberikan lesen mengimport daging babi bagi memenuhi keperluan orang bukan Islam di Selangor.
Baginda menzahirkan kebimbangan bahawa membenarkan ladang-ladang tersebut beroperasi akan mencemarkan kawasan tadahan air dan sungai yang membekalkan air bersih kepada penduduk di Lembah Klang.
Sebelum ini, campur tangan Sultan Selangor menyebabkan kerajaan negeri membatalkan cadangan untuk memusatkan industri penternakan babi di Bukit Tagar, Hulu Selangor.