Gagal patuh standard kualiti perkhidmatan, SKMM kompaun 170 pemegang lesen telco

Gagal patuh standard kualiti perkhidmatan, SKMM kompaun 170 pemegang lesen telco

SKMM berkata nilai kompaun ialah RM7,470,000 dikeluarkan kerana kegagalan mematuhi standard kualiti perkhidmatan ditetapkan.

Teo Nie Ching berkata 170 pemegang lesen telco gagal patuhi standard ditetapkan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan Standard Mandatori untuk Kualiti Perkhidmatan.
KUALA LUMPUR:
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengeluarkan 170 kompaun bernilai RM7,470,000 bagi kepada pemegang lesen telco bagi kesalahan kegagalan mematuhi standard kualiti perkhidmatan ditetapkan.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching, berkata pihaknya sentiasa menjalankan ujian dan audit kualiti perkhidmatan supaya pemberi perkhidmatan memenuhi standard telah ditetapkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan Standard Mandatori untuk Kualiti Perkhidmatan.

“Selain usaha untuk memperbaiki jaringan jalur lebar melalui penyediaan infrastruktur komunikasi, SKMM juga menjalankan pengukuran kualiti di lapangan berdasarkan aduan dan perancangan audit berkala untuk seluruh negara,” katanya sesi jawab lisan di Dewan Rakyat.

Teo berkata demikian menjawab soalan Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan- Kota Belud) yang bertanyakan tentang kualiti capaian perkhidmatan panggilan dan internet di Sabah serta jumlah kompaun dikenakan terhadap syarikat telco kerana gagal menyediakan standard kualiti ditetapkan.

Mengulas lanjut, Teo berkata, pada 2022, sebanyak 29 Arahan Suruhanjaya telah dikeluarkan kepada pemberi perkhidmatan gagal mematuhi Standard Mandatori melibatkan 29 lokasi berbeza di Sabah.

Katanya, melalui arahan itu, pemberi perkhidmatan wajib menambah baik kualiti perkhidmatan atau menaik taraf menara sedia agar kualiti pengalaman pengguna berada pada tahap baik.

Ketidakpatuhan kepada Arahan Suruhanjaya boleh dikenakan penalti sivil sehingga RM200,000.

“Aktiviti audit kualiti perkhidmatan ini juga akan diteruskan untuk 2023 dengan sasaran sebanyak 4,000 lokasi di seluruh negara termasuklah 225 lokasi di Sabah bagi memastikan Standard Mandatori terus dipatuhi dan sekaligus dapat memperbaiki masalah jaringan jalur lebar terutamanya di kawasan luar bandar,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.