
Beliau berkata, perkara itu adalah tindakan susulan selepas perjanjian perkongsian Rangkaian Teras Pelbagai Pengendali (MOCN) 4G 6 Hala dimeterai.
“Hasrat saya adalah (atas) dasar, ada jalan, di situ ada internet, dan kita mampu lakukan kerana syarikat telekomunikasi telah menandatangani perjanjian persefahaman yang membolehkan mereka membuat perkongsian rangkaian, iaitu MOCN 4G 6 Hala.
“Langkah seterusnya adalah pengarahan bulanan kepada semua telekomunikasi untuk selesaikan masalah internet mengikut negeri satu demi satu,” katanya, lapor Bernama.
Perjanjian MOCN 4G 6 Hala itu dimeterai pada Mei tahun lepas, namun mengambil sedikit masa untuk dilaksanakan kerana syarikat telekomunikasi perlu membangunkan prasarana yang membolehkan mereka bekerjasama.
Apabila ditanya mengenai masalah capaian internet di Ayer Kuning, Perak, Fahmi berkata, beberapa lokasi yang mengalami masalah capaian internet rendah telah dikenal pasti, termasuk kampung Orang Asli.
Masalah itu bagaimanapun hanya melibatkan beberapa syarikat telekomunikasi, tambahnya.
“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengeluarkan arahan dan pada Ahad lepas, saya telah minta supaya satu penyelesaian dikenal pasti,” katanya.
“Syarikat telekomunikasi memaklumkan mereka telah melaksanakan beberapa program pengoptimuman untuk memastikan kawasan terlibat mendapat capaian yang sederhana, bukan yang terbaik, belum yang terbaik.”
Dalam pada itu, katanya, SKMM telah meminta syarikat telekomunikasi terlibat mengemukakan penyelesaian jangka masa panjang.
Fahmi berkata, aduan mengenai masalah capaian internet rendah bukan sahaja diterima melibatkan Ayer Kuning, malah banyak kawasaan lain.
“Oleh itu, saya minta SKMM meneliti data sedia ada melalui data dalaman dan melalui penyedia perkhidmatan seperti Ookla yang dapat mengenal pasti lokasi capaian internet lemah, dan mengeluarkan arahan kepada syarikat telekomunikasi setiap bulan bagi setiap negeri.
“(Lihat) ini kawasan-kawasan yang mengalami capaian internet rendah, lemah dan mereka (syarikat telekomunikasi) perlu melakukan penyelesaian segera,” katanya.
Isu pada masa ini, katanya, adalah syarikat telekomunikasi hanya menunggu aduan masalah capaian internet.
“Kita akan tukar daripada menantikan aduan kepada ‘inilah senarai yang perlu kamu (syarikat telekomunikasi) siapkan bulan ini’,” katanya.
Ahad lepas, Fahmi mengarahkan semua syarikat telekomunikasi supaya mengemukakan penyelesaian terhadap masalah capaian internet lemah di seluruh negara atau berdepan tindakan tegas.