Menteri tegur telco lembap selesai aduan, kutip bil laju

Menteri tegur telco lembap selesai aduan, kutip bil laju

Fahmi Fadzil beri tempoh hingga 5 petang ini untuk telco kemuka pelan selesai capaian internet lemah atau hadapi tindakan SKMM.

handphone youth remaja
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil kecewa tindakan telco yang lembap selesai aduan pengguna dan capaian internet lemah. (Gambar Bernama)
TAPAH:
Syarikat telekomunikasi diberi tempoh sehingga 5 petang ini mengemukakan pelan penyelesaian isu capaian internet lemah atau tidak mematuhi standard Mandatori Kualiti Perkhidmatan (MSQoS) seluruh negara.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, MSQoS menetapkan kelajuan minimum internet pada tahap 7.5 megabait sesaat (Mbps) yang akan meningkat kepada 10Mbps dalam tempoh setahun.

Katanya, syarikat telekomunikasi juga berdepan tindakan penguatkuasaan dengan kompaun bernilai jutaan ringgit boleh dikenakan, jika gagal.

“Bila bab kutip tunggakan bil, bukan main cepat. Kalau kita lewat sehari dua, terus tutup talian, tetapi apabila kita (pengguna) mengadu pada dia, berbulan-bulan (nak selesaikan).

“’I had enough’ dan saya minta sekiranya mereka tak dapat mengemukakan penyelesaian cergas dan tuntas menjelang 5 petang ini, esok SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia) akan ambil tindakan penguatkuasaan,” katanya semasa sidang media selepas Hari Bersama Komuniti (HBK) di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi) Ayer Kuning.

Fahmi berkata, tempoh berkenaan diberikan selepas mengambil kira masalah sama berlaku di pelbagai lokasi lain seluruh negara, termasuk di beberapa kampung Orang Asli di Ayer Kuning yang capaiannya sangat teruk.

“SKMM sudah buat pandu uji ke seluruh negara Mac lalu, untuk menguji kelajuan internet dan saya dapati syarikat telekomunikasi sangat lembap menyelesaikan masalah serta aduan. Syarikat telekomunikasi maklum mengenai perkara ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, mengulas cadangan bekas menteri Nazri Aziz supaya Tengku Maimun Tuan Mat dikenakan tindakan tegas berhubung kenyataan tidak profesional sebagai ketua hakim negara, Fahmi berkata, kerajaan terbuka menerima pandangan menambah baik sistem perundangan.

Jurucakap kerajaan itu berkata, perkara itu bagaimanapun perlu diperincikan sebaiknya, termasuk usaha meminda undang-undang jika perlu, selepas ada kes difailkan mencabar Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) 2009.

“Sejak kerajaan Madani mentadbir, hampir 80 undang-undang sudah dibawa, sama ada pindaan atau akta baharu. Ini mencerminkan usaha kerajaan menambah baik institusi dan demokrasi dalam negara,” katanya.

Tengku Maimun pada Persidangan Undang-undang Komanwel ke-24 di Malta mengesyorkan kuasa perdana menteri diasingkan dalam pelantikan ketua hakim negara bagi membantu mengikis persepsi wujud pengaruh politik ke atas badan kehakiman, selain mengukuhkan ketelusan dan keadilan proses pemilihan serta memastikan pelantikan hakim benar-benar berasaskan merit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.