
Sumber berkata, belum dapat dipastikan sama ada Hussein Nasir, 54, adalah suspek utama atau hanya saksi dalam siasatan dikendalikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu.
Hussein yang direman tiga hari susulan siasatan program Jana Wibawa oleh SPRM, dibebaskan dengan ikat jamin hari ini.
Bagaimanapun, dia ditahan semula oleh SPRM berhubung satu lagi siasatan.
“Siasatan berkait dengan penipuan RM2 juta membabitkan menantu lelaki seorang pemimpin politik,” kata sumber itu.
Hussein antara lima individu termasuk seorang pegawai SPRM yang ditahan kerana dituduh meminta dan menerima rasuah berjumlah RM400,000 untuk menghalang siasatan terhadap program Jana Wibawa, yang bertujuan membantu kontraktor Bumiputera ketika pandemik Covid-19.
Bagaimanapun, menurut sumber, dipercayai empat lagi individu itu tidak terlibat dengan kes penipuan tersebut.
Pada 2021, Hussein dihukum penjara tujuh hari dan didenda RM50,000 kerana menyamar sebagai pegawai SPRM dan meminta wang untuk membantu individu yang disiasat oleh agensi anti-rasuah tersebut.