Wan Fayhsal tak pertahan ketua Pemuda Bersatu

Wan Fayhsal tak pertahan ketua Pemuda Bersatu

Ahli Parlimen Machang berkata umurnya sudah melebihi had sah untuk menerajui sayap parti itu.

Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal tidak dapat mempertahankan jawatan disandangnya sejak 2020 atas faktor umur, menjelang pemilihan parti dijadual pada Oktober.
KUALA LUMPUR:
Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengumumkan tidak mempertahankan jawatan disandang, pada pemilihan parti akan datang.

Beliau berkata, keputusan tersebut diambil susulan dirinya telah melebihi umur sah untuk menerajui sayap parti itu.

“Perhimpunan Agung Tahunan Armada (ini) adalah yang terakhir saya. Saya akan ‘graduate’ (melangkah) ke fasa seterusnya.

“Jadi, saya akan wariskan Armada kepada perwakilan untuk teruskan pertempuran akan datang,” katanya ketika berucap dalam Perhimpunan Agung Tahunan Armada Bersatu kali ke-4.

Menurut Ahli Parlimen Machang itu, pemilihan parti dijadual berlangsung pada Oktober akan menentukan calon baharu bagi jawatan itu.

Wan Fayhsal dipilih sebagai ketua Pemuda Bersatu dalam pemilihan parti itu, pada Ogos 2020.

Beliau dipilih selepas menewaskan pesaing tunggalnya, Muzzammil Ismail yang merupakan exco Pemuda Bersatu.

Dalam perkembangan lain, Wan Fayhsal juga membidas tindakan kerajaan bercadang memperkenalkan kaedah membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencagar caruman mereka bagi pinjaman wang tunai daripada bank.

Beliau berkata, apa yang rakyat mahukan adalah pengeluaran KWSP secara bersasar.

“Bila rakyat minta pengeluaran KWSP bersasar, apa jawapan menteri kewangan. Dia suruh cagar pula simpan kita kepada bank.

“Dulu perdana menteri yang kata banker jaga banker… dulu dia juga cabar bank untuk hapuskan hutang dan sebagainya. Nauzubillah. Rakyat tengah susah, bagi pengeluaran yang bersasar.

“Ini masalah bila yang jadi perdana menteri (Anwar Ibrahim) berkiblatkan ‘World Bank (Bank Dunia) dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF). Banker jaga banker,” katanya.

Khamis lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga menteri kewangan ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, berkata kerajaan akan memperkenalkan kaedah membolehkan pencarum KWSP menggunakan wang caruman mereka sebagai cagaran kepada bank bagi tujuan pembiayaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.