Penganalisis berbeza pandangan dakwaan ‘belum masa’ PAS pimpin PN

Penganalisis berbeza pandangan dakwaan ‘belum masa’ PAS pimpin PN

Bekas pemimpin PAS Zuhdi Marzuki baru-baru ini berkata belum masa PAS pimpin PN dan tampil poster boy PRU16.

muktamar pas
Dakwaan PAS gagal tarik pengundi bukan Melayu hanya bersifat persepsi setakat ini, menurut penganalisis Azeem Fazwan Ahmad Farouk.
PETALING JAYA:
Perdebatan sama ada PAS sesuai menerajui Perikatan Nasional (PN) mencetuskan pandangan berbeza di kalangan penganalisis politik, khususnya berkaitan kesannya terhadap sokongan pengundi bukan Melayu.

Azeem Fazwan Ahmad Farouk dari Universiti Sains Malaysia berpandangan kebimbangan terhadap penerimaan pengundi bukan Melayu sekiranya PAS memimpin PN masih belum dibuktikan secara nyata.

Menurutnya, PAS tidak pernah mengetuai mana-mana gabungan politik di peringkat nasional, justeru dakwaan bahawa parti itu akan menjejaskan sokongan bukan Melayu setakat ini hanya bersifat persepsi.

Azeem berkata prestasi PN dalam pilihan raya lalu juga menunjukkan kegagalan menarik sokongan bukan Melayu walaupun diterajui Bersatu, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada isu sebenar terletak pada kepimpinan PAS.

“Walaupun Bersatu memimpin PN, gabungan itu tetap hanya menang di kawasan majoriti Melayu. Ini menunjukkan corak sokongan tersebut mungkin tidak banyak berubah walaupun kepimpinan bertukar,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas kenyataan bekas pemimpin PAS Zuhdi Marzuki yang belum tiba masa untuk PAS tampil sebagai barisan hadapan PN atau mempertaruhkan calon parti itu sebagai poster boy pada PRU16.

Sinar Harian melaporkan Zuhdi berkata pendekatan ‘PAS di hadapan’ berisiko menimbulkan rasa tidak selesa di kalangan pengundi bukan Melayu dan bukan Islam, sambil menegaskan PN masih memerlukan figura daripada Bersatu bagi mengimbangi sentimen politik, khususnya di Sabah dan Sarawak.

Kenyataan Zuhdi itu dilatari dengan perkembangan dalam PN yang dalam proses mengisi kekosongan kerusi pengerusi PN susulan perletakan jawatan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkuat kuasa 1 Jan lalu.

Kesesuaian PAS sebagai pengerusi PN menjadi perbincangan selepas Presiden Hadi Awang mengumumkan partinya sedia mengambil alih kepimpinan gabungan itu, dengan beberapa nama dilontarkan termasuk Naib Presiden Ahmad Samsuri Mokhtar.

Hasrat PAS ini berlatarkan kemelut politik di Perlis, yang menyaksikan jawatan menteri besar bertukar tangan, selepas sekumpulan Adun Bersatu menarik balik sokongan kepada Shukri Ramli.

Bagaimanapun, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berpendapat kebimbangan itu berasas dalam realiti politik semasa, terutamanya melibatkan pengundi bukan Melayu serta Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, sokongan pengundi Melayu terhadap PAS dijangka kekal, namun kesan kepimpinan parti itu lebih ketara di kawasan campuran serta di Malaysia Timur yang mempunyai landskap politik dan sentimen berbeza.

“Di sinilah PN memerlukan kepimpinan pengimbang supaya gabungan itu tidak dilihat terlalu memihak kepada satu parti komponen, sekali gus mengelakkan rasa terpinggir di kalangan pengundi dan rakan lain,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.