Ulama PAS perlu jadi pengerusi PN, gesa bekas pemimpin

Ulama PAS perlu jadi pengerusi PN, gesa bekas pemimpin

Zuhdi Marzuki berkata penegasan memperkasa kepimpinan ulama perlu dibaca bersama resolusi PAS mengetuai PN dalam memilih pengerusi baharu.

Tuan Ibrahim Tuan Man Hadi Awang
Zuhdi Marzuki cadang Hadi Awang dan Tuan Ibrahim Tuan Man dilantik sebagai pengerusi PN.
PETALING JAYA:
Seorang bekas pemimpin PAS menggesa golongan ulama dari parti itu dilantik pengerusi Perikatan Nasional (PN) selaras dengan resolusi muktamar.

Gesaan itu disuarakan bekas ahli jawatankuasa PAS Pusat Zuhdi Marzuki ketika nama Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga seorang teknokrat disebut-sebut dilantik pengerusi PN menggantikan Muhyiddin Yassin.

Menerusi hantaran Facebook, Zuhdi berkata Muktamar PAS lalu telah merumuskan resolusi iaitu parti itu perlu memimpin PN dan perlu dibaca bersama dengan penegasan memperkasa kepimpinan ulama sejak 1980-an.

“Gagasan kepimpinan ulama didukung PAS bukan sahaja satu dasar hukum tentang kepimpinan di dalam Fiqh Islami, tetapi juga menjadi prinsip politik diperjuangkan PAS.

“Mereka yang enggan menerima prinsip politik PAS ini, akhirnya akan keluar parti seperti yang pernah dilakukan oleh gerombolan PAN (Parti Amanah Negara),” katanya sambil menegaskan pengerusi PN bakal menjadi perdana menteri jika gabungan itu menang.

“Jika Pengerusi PN itu daripada PAS, maka Malaysia kelak akan mendapat PM dari kalangan golongan ulama.”

Jelas Zuhdi, berdasarkan resolusi isu pemimpin daripada PAS yang harus dilantik adalah Presiden Hadi Awang dan Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man

“Menamakan tokoh lain sebagai pengerusi PN mewakili PAS, adalah satu percanggahan dengan prinsip politik PAS,” katanya.

Kenyataan Zuhdi itu dilatari dengan perkembangan dalam PN yang dalam proses mengisi kekosongan kerusi pengerusi PN susulan perletakan jawatan Muhyiddin berkuat kuasa 1 Jan lalu.

Kesesuaian PAS sebagai pengerusi PN menjadi perbincangan selepas Hadi mengumumkan partinya sedia mengambil alih kepimpinan gabungan itu, dengan beberapa nama dilontarkan termasuk Samsuri.

Hadi membayangkan tidak berhasrat memegang jawatan itu kerana ‘sudah uzur’.

Hasrat PAS ini berlatarkan kemelut politik di Perlis, yang menyaksikan jawatan menteri besar bertukar tangan, selepas sekumpulan Adun Bersatu menarik balik sokongan kepada Shukri Ramli.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.