Pencarum bawah 40 tahun wajar diberi tambahan caruman, Muhyiddin beritahu kerajaan

Pencarum bawah 40 tahun wajar diberi tambahan caruman, Muhyiddin beritahu kerajaan

Muhyiddin Yassin berkata hampir 53% pencarum adalah penyumbang aktif terdiri mereka berumur bawah 40 tahun tetapi dinafikan hak untuk mendapat bantuan sama.

Anwar Ibrahim baru-baru ini berkata kerajaan bersetuju menambah caruman simpanan KWSP Akaun 1 kurang daripada RM10,000, sebanyak RM500 bagi ahli berumur 40 hingga 54 tahun.
KUALA LUMPUR:
Tambahan caruman sebanyak RM500 ke dalam simpanan Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang diumumkan kerajaan menerusi Belanjawan 2023 baru-baru ini perlu diperluaskan kepada pencarum berusia 40 tahun dan ke bawah, kata Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin (PN-Pagoh) berkata, hampir 53% pencarum adalah penyumbang aktif terdiri daripada mereka berumur bawah 40 tahun tetapi dinafikan hak untuk mendapat bantuan sama.

“Hakikatnya, bantuan KWSP yang diumumkan oleh Tambun (Anwar Ibrahim) hanya untuk segelintir pencarum iaitu kumpulan umur 40 hingga 54 tahun sahaja, sedangkan hampir 53% penyumbang caruman yang aktif tidak mendapat manfaat daripada pemberian ini.

“Golongan pencarum berumur di bawah usia 40 tahun pula dinafikan hak mereka untuk mendapat bantuan yang sama,” kata pengerusi Perikatan Nasional itu ketika membahaskan Rang Undang – Undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat.

Pada 24 Feb, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan bersetuju menambah caruman sebanyak RM500 ke dalam simpanan Akaun 1 KWSP bagi pencarum berusia 40 hingga 54 tahun yang memiliki baki simpanan kurang RM10,000 dalam akaun mereka.

Anwar berkata, inisiatif dalam Belanjawan 2023 itu adalah sebahagian usaha kerajaan untuk membantu mereka membina semula simpanan persaraan yang berkurangan susulan pengeluaran ketika pandemik Covid-19.

Bagi tujuan itu, perdana menteri berkata, kerajaan memperuntukkan hampir RM1 bilion bagi meningkatkan simpanan persaraan hampir dua juta pencarum KWSP yang menghampiri usia persaraan.

Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga presiden Bersatu turut kecewa dengan keputusan kerajaan tidak mempedulikan keluhan pencarum yang mahu simpanan KWSP mereka dikeluarkan.

“Jelas kerajaan hari ini tidak mendengar denyut nadi rakyat yang sedang dihimpit oleh bebanan kos sara hidup yang tinggi.

“Benar KWSP adalah untuk simpanan hari tua, tetapi apa guna bercakap tentang hari tua, jika hari ini pun rakyat tidak mempunyai wang untuk keperluan harian,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.