Kerajaan perlu tarik balik, fikirkan semula cadangan cukai barangan mewah

Kerajaan perlu tarik balik, fikirkan semula cadangan cukai barangan mewah

Pengenalan cukai itu akan menjadikan rakyat Malaysia tertarik untuk membeli di luar negara dan menyebabkan berlakunya pengaliran wang keluar negara.

Dalam Belanjawan 2023, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Anwar Ibrahim telah mencadangkan untuk memperkenalkan cukai barangan mewah mulai tahun ini. (Gambar Freepik)
PETALING JAYA:
Kerajaan digesa memikirkan semula dan menarik balik cadangan untuk memperkenalkan Cukai Barangan Mewah kerana ia mungkin menjadikan harga di Malaysia tidak kompetitif dan berkemungkinan menghalang ketibaan pelancong.

Perkara itu disuarakan beberapa persatuan peruncit utama yang turut menyifatkan langkah itu akan menjadikan rakyat Malaysia tertarik untuk membeli di luar negara dan menyebabkan berlakunya pengaliran wang keluar negara.

Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini, kumpulan persatuan itu berkata, cadangan memperkenalkan cukai itu adalah sesuatu yang merugikan.

“Ini adalah cadangan yang merugikan – kehilangan ketibaan pelancong asing dan kehilangan rakyat Malaysia daripada membeli dalam negara, ditambah pula dengan kehilangan pertukaran asing.

“Walaupun mekanisme boleh direka untuk pelancong asing menuntut balik cukai barangan mewah itu, rakyat Malaysia pula akan tertarik untuk membeli-belah di luar negara,” kata mereka.

Kenyataan itu dikeluarkan bersama oleh Persatuan Pusat Beli-belah Malaysia, Persatuan Pelancongan BBKLCC Kuala Lumpur, Persatuan Peruncit Jalan Batu, Pertubuhan Peruncit Bumiputra, Persekutuan Persatuan Perniagaan Malaysia, Industries Unite, Persatuan Peruncit Malaysia, dan Persatuan Rantaian Runcit Malaysia.

Jelas mereka, hanya produk mewah yang harganya sangat mahal sepatutnya mencukupi untuk memenuhi kriteria (cukai barangan mewah) jika falsafah ekonomi adalah untuk mengenakan cukai kepada orang kaya.

“Barang-barang besar seperti kereta sukan, motosikal lumba, kapal layar dan kapal terbang boleh dipertimbangkan,” kata mereka, sambil menambah pendekatan holistik harus diambil yang akan mengimbangi antara risiko dan ganjaran serta kesan pengganda melalui aktiviti perniagaan yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Dalam Belanjawan 2023, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Anwar Ibrahim telah mencadangkan untuk memperkenalkan cukai barangan mewah mulai tahun ini, dengan nilai tertentu terhad kepada jenis barangan, termasuk jam tangan dan barangan fesyen bagi meningkatkan hasil negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.