
Menteri Pertahanan, Mohamad Hasan, berkata peruntukan itu diluluskan pada pasca mesyuarat Jemaah Menteri semalam.
Katanya, antara aset akan dibeli termasuk bot getah yang boleh memudahkan usaha menyelamat mangsa banjir terperangkap terutama di kawasan cetek, serta lori tujuh tan.
“Sekarang tentera menggunakan bot tempur dan kita memerlukan bot getah yang digunakan komando dan bomba,” katanya pada sidang media selepas melawat mangsa banjir di PPS SK Temenggong Abdul Rahman, Segamat, Johor, lapor Bernama.
“Ini adalah persediaan untuk kita menghadapi ancaman bukan tradisi dan melengkapkan aset dalam memberi bantuan menyelamat dalam situasi seperti ini (banjir).”
Mohamad berkata, pandangan pihak berkaitan termasuk tentera, akan diambil kira bagi mengenal pasti keperluan pembelian aset menghadapi banjir dan penempatan aset di beberapa negeri sering menghadapi banjir, seperti Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan dan Negeri Sembilan.
Katanya, sebanyak 1,500 anggota tentera dikerah bagi membantu mangsa banjir di Johor, melibatkan aset sebanyak 28 bot, lapan lori dan 25 trak termasuk pasukan Kor Perubatan dan Kor Jurutera Diraja tentera.
Susulan banjir teruk di Johor, pihaknya turut menghantar anggota tentera laut buat kali pertama bagi membantu mangsa banjir bersama agensi kerajaan lain.
Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata, pembinaan jambatan bailey di jalan utama ke Felda Selancar, Rompin, Pahang, akan disiapkan dalam tempoh terdekat.
“Sekarang (jambatan) akan dipasang dan kor jurutera tentera bersedia membantu Jabatan Kerja Raya. Dalam sehari dua boleh siap,” katanya.
Pada 1 Mac lalu Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan pembinaan jambatan bailey di jalan utama Felda Selancar, yang runtuh akibat limpahan air deras susulan hujan lebat.