
Mohamad yang juga timbalan presiden Umno, berkata walaupun masih terdapat perbincangan dalam BN sendiri berkenaan kerusi yang akan ditandingi, pertembungan pasti tidak akan berlaku antara dua parti yang menganggotai kerajaan Madani itu.
“Jentera BN pula perlu bergerak terus sampai pengundian 29 Nov bagi memastikan kemenangan BN pada pilihan raya nanti,” katanya menurut Bernama selepas Majlis Ramah Mesra dan Minum Petang Bersama Penduduk Kampung Contoh, Putatan semalam.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 Nov sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17, manakala tarikh penamaan calon pada 15 Nov serta pengundian awal 25 Nov.
Sementara itu, Mohamad mencadangkan Ketua Umno Putatan Jeffrey Nor Mohamed dipilih calon parti itu bagi kawasan Tanjung Keramat pada PRN Sabah.
Kerusi berkenaan disandang Timbalan Ketua Menteri Sabah Shahelmey Yahya yang kini digantung keahlian oleh Umno.
Mohamad berkata, dengan kesetiaan Jeffrey Nor dalam parti serta usahanya membina semula kekuatan Umno di Putatan, beliau wajar diberi peluang menjadi calon.
“Kita menyokong Jeffrey Nor sebagai calon DUN Tanjung Keramat berikutan sokongan yang kuat daripada penduduk setempat, namun kita tunggu siapa yang akan diumumkan oleh pucuk pimpinan,” katanya.