Bantuan untuk tahanan Malaysia di luar negara atas permintaan individu

Bantuan untuk tahanan Malaysia di luar negara atas permintaan individu

Menteri luar berkata bantuan konsular seperti memaklumkan keluarga tahanan, atur khidmat guaman dan penuhi keperluan asas tahanan hanya dilakukan atas permintaan individu.

Menteri Luar Mohamad Hasan berkata 837 rakyat Malaysia ditahan di luar negara atas kesalahan penipuan dalam talian setakat 8 Nov lalu. (Gambar fail)
KUALA LUMPUR:
Semua bentuk bantuan untuk rakyat Malaysia ditahan di luar negara bagi kesalahan jenayah hanya diberikan atas permintaan individu itu, bukannya secara automatik oleh kerajaan, kata Menteri Luar, Mohamad Hasan.

Beliau berkata, ia termasuk bantuan konsular seperti memaklumkan keluarga tahanan, mengatur khidmat guaman dan memenuhi keperluan asas tahanan, yang hanya akan dilakukan apabila diminta secara rasmi oleh individu terbabit.

Menurutnya, setiap tindakan juga tertakluk peraturan negara itu dan prinsip Konvensyen Vienna 1963 mengenai Hubungan Konsular yang menetapkan tanggungjawab sesebuah negara dalam melindungi rakyatnya di luar negara.

“Bantuan diberi apabila pihak berkuasa negara itu memaklumkan pejabat perwakilan kita bahawa rakyat Malaysia ditahan, kita akan pergi berjumpa dan bertanyakan keperluan mereka.

“Bagaimanapun, ada juga kita (pejabat kedutaan) tidak tahu rakyat kita ditahan kerana ada negara menghormati hak asasi individu tidak mahu memaklumkan kedutaan sehinggalah mereka meminta untuk maklumkan kepada kita,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan tambahan Wong Shu Qi (PH-Kluang) berhubung bantuan pejabat perwakilan Malaysia di luar negara dari segi sokongan kemanusiaan serta hak asasi rakyat Malaysia ditahan di luar negara, dan sama ada terdapat peruntukan kewangan khusus bagi menjamin hak individu ditahan.

Mohamad yang juga dikenali Tok Mat berkata, kerajaan tidak menyediakan peruntukan khusus bagi melantik peguam untuk tahanan, sebaliknya tanggungjawab itu terletak kepada keluarga individu terbabit, kecuali di negara menyediakan khidmat guaman percuma kepada warganegara asing.

Setakat 8 Nov lalu, katanya, 837 rakyat Malaysia ditahan di luar negara atas kesalahan penipuan dalam talian, dengan China mencatat jumlah tertinggi penahanan warganegara, iaitu 545 orang diikuti Singapura (162), Jepun (34), Korea Selatan (22), India (20), Indonesia (11) dan Thailand (10) serta sebilangan kecil di beberapa negara lain.

Bagi pecahan mengikut kaum, 765 orang ialah Cina, diikuti Melayu (34), India (33) dan lima daripada etnik lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.