
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dibincangkan bersama Jemaah Menteri yang melihat beberapa undang-undang berkaitan perlu diteliti semula dalam usaha melindungi golongan kanak-kanak serta wanita daripada aktiviti pornografi dan keganasan seksual.
“Kita akan membuat pengumuman mengenainya sebaik sahaja kita memulakan siri libat urus di pelbagai kementerian.
“Sebagai contoh, Akta Komunikasi dan Multimedia sama ada terdapat bahagian undang-undang yang perlu dipinda bagi menyelamat dan melindungi wanita serta kanak-kanak tetapi tidak akan mengekang apa sahaja komitmen kerajaan terhadap syarikat teknologi maklumat sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pemantapan Penerangan PKR Selangor.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023 mengumumkan sebuah pasukan khas di bawah D11 akan ditubuhkan khusus untuk mengekang aktiviti pornografi kanak-kanak dan pasukan itu akan bekerjasama dengan pelbagai agensi untuk mencari pelaku terlibat.
Mengenai sesi libat urus KKD bersama Digital Nasional Berhad (DNB) dan semua penyedia perkhidmatan telekomunikasi bagi membincangkan berkenaan capaian 5G di negara ini, semalam, Fahmi berkata, keputusan sama ada kekal menggunakan model rangkaian borong tunggal (SWN) dalam pelaksanaan rangkaian itu akan dicapai sebelum hujung Mac ini.
“Lebih penting adalah kita ingin melihat capaian rangkaian 5G ini meliputi 80% kawasan berpenduduk di seluruh negara menjelang hujung 2023 dan harganya perlu berpatutan untuk rakyat,” katanya dan menambah hubungan DNB bersama syarikat telekomunikasi dalam pelaksanaan rangkaian 5G juga akan dicapai dalam masa terdekat.
Beliau berkata, sesi libat urus diadakan lebih sejam itu antaranya turut membincangkan supaya DNB diurus dengan lebih telus dan terbuka.
Januari lalu, Fahmi dilapor berkata, KKD dijangka mengumumkan pelaksanaan rangkaian 5G oleh DNB dengan beberapa penambahbaikan menjelang atau sebelum hujung Mac ini.