
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, berkata siaran 5G adalah unik kerana ia membolehkan penghantaran secara terus ke peranti tanpa menggunakan internet, WiFi atau kad SIM.
Katanya, teknologi itu melibatkan cip terbina dalam pada telefon yang mampu berpasangan secara automatik dengan rangkaian.
“Ini adalah antara kemampuan unik teknologi 5G. Ia boleh berfungsi tanpa internet atau WiFi untuk menyambung kepada peranti. Ini mungkin menjadi mod penyiaran pada masa hadapan.
“Mungkin kita akan dapat menikmati manfaatnya dalam dua atau tiga generasi telefon bimbit akan datang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan Siaran 5G.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang mengkaji teknologi itu bagi memastikan ia tidak mengganggu perkhidmatan telekomunikasi sedia ada.
Fahmi berkata, teknologi itu membawa manfaat besar untuk siaran langsung acara kebangsaan, konsert, dan pertandingan sukan, manakala agensi kerajaan juga sedang meneliti potensinya untuk amaran bencana dan pesanan keselamatan awam.
“Pada masa ini, sistem amaran awal bergantung kepada SMS dan aplikasi. Namun, pada masa hadapan, siaran 5G boleh menyampaikan amaran dengan serta-merta dan lebih berkesan,” katanya.
Bagaimanapun, Fahmi berkata kebanyakan peranti di pasaran masih belum dilengkapi dengan cip diperlukan.
“Banyak peranti hari ini belum dilengkapi dengan cip diperlukan untuk memanfaatkan fungsi siaran baharu ini. Kami jangka ia akan menjadi standard industri pada masa hadapan, jadi kami sedang membuat persediaan untuk itu.”