Malaysia komited perkukuh infrastruktur digital serantau

Malaysia komited perkukuh infrastruktur digital serantau

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata komitmen itu selari agenda kerajaan memastikan akses digital saksama dan pembangunan teknologi tidak mengabaikan kelestarian alam sekitar.

Fahmi Fadzil
Fahmi Fadzil pada sesi menteri bertajuk ‘Sustainable Digital Infrastructure and Accessibility’ sempena Mesyuarat Menteri Asia-Pacific Telecommunity. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Malaysia menyokong penuh Kenyataan Tokyo 2025, yang bakal dilancarkan sempena Mesyuarat Menteri Asia-Pacific Telecommunity (APT), dalam usaha memperkukuh infrastruktur digital berdaya tahan, inklusif dan mampan di rantau Asia Pasifik.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata komitmen itu selari agenda kerajaan untuk memastikan akses digital saksama serta pembangunan teknologi yang tidak mengabaikan kelestarian alam sekitar.

“Malaysia komited memastikan akses sejagat, kesaksamaan teknologi dan kelestarian alam sekitar dalam ruang digital,” katanya dalam kenyataan sempena sesi menteri bertajuk ‘Sustainable Digital Infrastructure and Accessibility’.

Fahmi berkata, Malaysia mencatatkan kemajuan ketara dalam keterangkuman digital menerusi pelaksanaan inisiatif Jendela, yang memperluas liputan internet berkelajuan tinggi ke lebih 9.03 juta premis serta meningkatkan liputan 5G ke lebih 82% kawasan berpenduduk.

“Capaian ini diterjemah kepada peningkatan infrastruktur digital nasional, dengan purata kelajuan jalur lebar mudah alih kini mencecah 105.36 Mbps manakala liputan internet mencapai 98.66% pada suku keempat tahun 2024.

“Dengan penembusan mudah alih sebanyak 61% dan pelaksanaan 5G, Malaysia membuka lebih banyak peluang dalam sektor pendidikan dan pelbagai industri,” katanya.

Beliau turut menyatakan kesediaan Malaysia bekerjasama dengan negara APT lain dalam berkongsi inovasi serta membina masa depan digital yang lebih adil dan mampan di rantau ini.

Mesyuarat Menteri APT adalah platform penting untuk negara Asia Pasifik merangka dasar dan strategi pembangunan teknologi komunikasi dan maklumat yang inklusif, selaras keperluan ekonomi digital serantau yang semakin berkembang pesat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.