
Kementerian memperoleh ubat-ubatan melalui tiga kaedah, menurut Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad.
Kaedah pertama adalah melalui perolehan pusat, dengan kementerian mengurus dan menyelia perolehan secara langsung, manakala menerusi kaedah kedua, perolehan dikendalikan oleh pemegang konsesi Pharmaniaga Bhd melalui Senarai Pembelian Produk Diluluskan (APPL).
Kaedah ketiga melibatkan fasiliti penjagaan kesihatan memperoleh bekalan melalui tender, tertakluk kepada had RM500,000.
“Produk farmaseutikal yang dikeluarkan daripada APPL berikutan penamatan kontrak konsesi kerajaan dengan Pharmaniaga pada 30 Jun 2023 mengalami peningkatan harga yang mendadak, sehingga lima kali ganda melalui perolehan secara tender terbuka sebut harga.
“Sama ada dibeli melalui pemerolehan pusat atau tender, harga (bekalan) melonjak,” katanya.
Terdapat juga beberapa produk mengalami kenaikan harga 200% hingga 300%, kata Dzulkefly dalam ucapan penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan di Dewan Rakyat.
Bagaimanapun, pada Februari 2023, Pharmaniaga termasuk dalam klasifikasi Nota Amalan 17 (PN17) bagi syarikat yang mengalami masalah kewangan selepas mencatatkan kerugian bersih suku tahunan terbesarnya, sebanyak RM664.39 juta pada suku keempat berakhir 31 Dis 2022.
Syarikat farmaseutikal itu kemudiannya diberi lanjutan enam bulan untuk terus membekalkan ubat-ubatan sehingga akhir Jun sementara menunggu perjanjian konsesi baharu dimuktamadkan.
Pada Januari 2024, Pharmaniaga mengumumkan bahawa anak syarikat milik penuhnya, Pharmaniaga Logistics Sdn Bhd, memeterai perjanjian konsesi tujuh tahun dengan KKM untuk melaksanakan perolehan, penyimpanan, pembekalan dan penghantaran produk perubatan kepada pelanggan sektor awam.
Perjanjian itu berkuat kuasa secara retrospektif mulai 1 Julai 2023 hingga 30 Jun 2030, atau tertakluk kepada penamatan lebih awal.
Dzulkefly berkata, faktor lain menyumbang kepada perbelanjaan lebih tinggi oleh KKM termasuk pelarasan gaji kakitangan untuk mematuhi semakan gaji minimum 2022 serta perbelanjaan tambahan untuk pengurusan hospital seperti perkhidmatan pembersihan dan makanan.
Beliau juga mengaitkan perbelanjaan lebih tinggi itu kepada bilangan rujukan pesakit yang lebih tinggi berikutan peningkatan saringan kesihatan.