
Bagi sektor korporat yang diwakili Pengerusi Bursa Malaysia Abdul Wahid Omar pula lega kerana tiada cukai makmur dalam Belanjawan 2023 dibentangkan.
Anwar yang juga menteri kewangan berkata barangan seperti jam tangan dan fesyen mewah akan dikenakan cukai manakala kadar cukai dinaikkan di antara 0.5% hingga 2% bagi golongan berpendapatan antara RM100,000 dan RM1 juta setahun.
Menerusi tinjauan FMT, pengguna media sosial meminta kerajaan untuk menyenaraikan barangan mewah yang akan dikenakan cukai kerana masih tiada panduan jelas terutama dari segi hargaya.
“Jika saya membeli iPhone 15 Pro Max Ultra atau Samsung S24 Ultra, adakah saya akan dikenakan cukai mewah?” tanya IlliFadli di Twitter.
Pengguna Twitter #ryuki2517 pula berpandangan cukai mewah sepatutnya turut meliputi barangan seperti makanan mahal, pakej percutian, kereta dan rumah.
Ada juga pengguna yang bimbang dengan kenaikan kadar cukai pendapatan. Harris Zainul berkata golongan berpendapatan RM100,000 setahun tidak sepatutnya dilayan sama seperti mereka yang berpendapatan RM1 juta.
“RM8,300 sebulan bukanlah kehidupan mewah dalam apa cara sekalipun,” katanya.
Sementara itu, Wahid berkata ketiadaan cukai makmur melegakan sektor korporat kerana ia berpotensi mengurangkan 5 hingga 6% daripada pendapatan saham-saham komponen FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) 2023.
“Tanpa pengenaan cukai makmur, penganalisis meramalkan konsensus kadar pertumbuhan pendapatan sesaham (EPS) sebanyak 20.1% untuk 2023 berbanding negatif 1.3% untuk 2022.
Beliau juga menyambut baik komitmen perdana menteri untuk mengurangkan defisit fiskal kerajaan kepada 5% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar pada 2023 dan seterusnya kepada 3.2% dalam tempoh dua tahun lagi.
Menurutnya, pengurangan boleh dicapai dengan meningkatkan kutipan cukai dan menutup ketirisan serta meluaskan asas hasil melalui cukai ke atas barangan mewah dan cukai keuntungan modal.