Hanya 1 syarikat Bumiputera daripada 97 tersenarai Bursa dalam 3 tahun lepas

Hanya 1 syarikat Bumiputera daripada 97 tersenarai Bursa dalam 3 tahun lepas

Ini suatu 'wake-up call', mencerminkan penyertaan sebenar Bumiputera dalam sektor perniagaan, kata Pengerusi Bursa Malaysia Wahid Omar.

Pengerusi Bursa Malaysia Wahid Omar menggesa kerajaan mempertimbangkan langkah memperkenalkan Dasar Peluang Saksama.
PUTRAJAYA:
Hanya satu syarikat dikuasai Bumiputera daripada sebanyak 97 syarikat baharu yang disenaraikan dalam Bursa Malaysia dalam tiga tahun kebelakangan ini, menurut Pengerusi Bursa Malaysia Wahid Omar.

Menzahirkan kebimbangan berhubung perkara itu, Wahid berkata, keadaan itu “mencerminkan penyertaan sebenar Bumiputera dalam sektor perniagaan”.

“Ini suatu ‘wake-up call’ (bagi kita), situasi sebenar yang berlaku,” katanya pada sesi pembentangan hasil libat urus pengurusan korporat dan penciptaan kekayaan pada Kongres Ekonomi Bumiputera di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Wahid, yang juga bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, “punca utama kegagalan” itu adalah golongan Bumiputera sentiasa menumpukan dasarnya pada sektor awam, bukan swasta.

Perkara itu menyebabkan ekonomi Bumiputera hanya mencapai sasaran 17.8%, berbanding sektor swasta 76.2% dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Sektor awam mungkin sumbang sebahagian daripada ekonomi negara kita … terdapat penyertaan sektor swasta yang lebih besar,” katanya.

Sementara itu Wahid turut menggesa kerajaan untuk mempertimbangkan langkah memperkenalkan Dasar Peluang Saksama bagi memastikan semua rakyat terutama Bumiputera mendapat peluang pekerjaan dan perniagaan yang saksama.

Menurutnya, cadangan itu wajar diangkat kerana penciptaan kekayaan dan penguasaan korporat dalam kalangan Bumiputera masih rendah berbanding bukan Bumiputera.

Jika dasar itu dilaksanakan, ia mampu mewujudkan persaingan yang lebih baik dalam perniagaan, korporat dan juga pekerjaan atau pendapatan, yang ketika ini peratusannya tidak seimbang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.