PuTERA35 angkat darjat Bumiputera, kata Rafizi

PuTERA35 angkat darjat Bumiputera, kata Rafizi

Menteri ekonomi berkata Bumiputera mempunyai peluang dan potensi untuk memainkan peranan lebih bermakna dalam sektor dan industri baharu.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli ketika berucap dalam majlis pelancaran PuTERA35 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
PUTRAJAYA:
Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) berpeluang membantu meningkatkan sosioekonomi masyarakat itu menjadi lebih maju, kata Rafizi Ramli.

Menteri ekonomi berkata, melalui pelan itu Bumiputera mempunyai peluang dan potensi untuk memainkan peranan lebih bermakna dalam sektor dan industri baharu yang mempunyai nilai ditambah tinggi, termasuk industri ‘High Growth High Value’ (HGHV).

“Masih ada ruang dan peluang untuk kita bermuhasabah dan berikhtiar dalam mencari solusi terbaik agar sosioekonomi kaum Bumiputera menjadi lebih maju dan makmur.

“Ini dapat dilakukan melalui reformasi struktur ekonomi ke arah menjadikan Malaysia, sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi,” katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran PuTERA35 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Rafizi berkata, pelan itu menggagaskan tiga teras selaras kerangka Ekonomi Madani iaitu memperkukuh pasak ekonomi negara, memperkukuh kerukunan tatakelola dan institusi, dan menegakkan keadilan sosial.

“Justeru, hari ini kita akan berpeluang untuk diperkenalkan dengan hala tuju baharu pembangunan ekonomi Bumiputera, PuTERA35 sebagai satu langkah proaktif untuk mengangkat darjat dan martabat Bumiputera,” katanya.

Beliau berkata, beberapa trend mega yang sedang melanda turut memberi cabaran kepada Bumiputera, antaranya perubahan susunan blok ekonomi dan kuasa global, teknologi dan digital, demografi dan kualiti hidup, serta krisis kesihatan dan perubahan iklim.

“Berpaksikan semangat inklusif, kerajaan perpaduan komited memastikan agenda Bumiputera terus diberi keutamaan dalam setiap perancangan pembangunan sosioekonomi negara.

“Ini sama sekali, tidak akan menafikan hak kaum lain sebaliknya mampu memberi manfaat kepada semua kaum dalam aspek pembangunan dan kemajuan negara,” katanya.

Abdul Wahid Omar.

Sementara itu, Pengerusi Bukan Eksekutif Bursa Malaysia, Abdul Wahid Omar, yang ditemui selepas majlis berkata antara sektor boleh diberi tumpuan Bumiputera adalah tenaga boleh baharu dan teknologi.

“Dari segi sejarahnya banyak industri baharu…dulu minyak dan gas sekarang dalam konteks tenaga boleh baharu dan teknologi, antara bidang boleh dipertingkatkan oleh Bumiputera,” katanya.

Katanya, pelan itu juga bertujuan mentransformasikan kek ekonomi negara supaya lebih berkembang.

“Dalam konteks memastikan tiada golongan terpinggir ini kesinambungan yang baik, semua matlamatnya pastikan kek ekonomi berkembang, kalau kek ekonomi tak berkembang, pengagihan kurang bermakna, itulah asas pelan transformasi ekonomi Bumiputera kita ada hari ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.