Jabatan Pembangunan Kanak-kanak ditubuh berkuat kuasa 1 Sept

Jabatan Pembangunan Kanak-kanak ditubuh berkuat kuasa 1 Sept

Sebanyak 169 perjawatan kontrak turut diluluskan bagi memastikan kecekapan dan perkhidmatan yang efektif di jabatan itu, kata Nancy Shukri.

Nancy Shukri turut meminta orang ramai untuk terus cakna dan melaporkan kes penderaan atau pengabaian kanak-kanak di Talian Kasih 15999.
PUTRAJAYA:
Jabatan Pembangunan Kanak-kanak ditubuhkan berkuat kuasa 1 Sept lepas bagi menggantikan Bahagian Kanak-Kanak bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat Nancy Shukri.

Beliau berkata, jabatan yang diumumkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Anwar Ibrahim pada pembentangan Belanjawan 2023 Februari lepas merupakan penyelesaian terbaik dalam menangani segera isu pengabaian dan penderaan kanak-kanak yang semakin meruncing.

“Jabatan ini diyakini berupaya memberikan perkhidmatan yang berkualiti kepada rakyat, khususnya kanak-kanak berlandaskan kepada lima teras utama, iaitu pencegahan, pembangunan, perlindungan, pemulihan dan pengintegrasian ke dalam masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu, katanya, jabatan itu telah meluluskan 169 perjawatan kontrak daripada pelbagai skim perkhidmatan dan gred untuk tahun ini bagi memastikan kecekapan dan perkhidmatan yang efektif serta profesional dapat diberikan demi kesejahteraan kanak-kanak di negara ini.

Selain itu, katanya, usaha menggerakkan komuniti yang ditubuhkan bawah Akta Kanak-Kanak 2001, iaitu Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak dan Pasukan Kebajikan Kanak-Kanak, serta pembantu pelindung juga akan ditingkatkan di semua 105 daerah.

Nancy turut meminta orang ramai untuk terus cakna dalam melindungi kanak-kanak dan melaporkan sebarang kes penderaan atau pengabaian kanak-kanak di Talian Kasih 15999 atau menerusi Whatsapp di talian 019-2615999 yang beroperasi 24 jam.

Anwar semasa membentangkan Belanjawan 2023 memaklumkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan mewujudkan Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak untuk memberikan perkhidmatan sokongan lebih komprehensif kepada golongan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.