Artikel ulasan wajar, bukan fitnah, mahkamah diberitahu

Artikel ulasan wajar, bukan fitnah, mahkamah diberitahu

Naib Presiden MCA Tan Teik Cheng berkata kritikannya terhadap Lim Guan Eng berhubung isu sekolah Cina tidak boleh dianggap sebagai fitnah.

Naib Presiden MCA Tan Teik Cheng (kanan) berbual dengan Ahli Majlis Johor Bahru Ang Boon Heng (kiri) dan peguamnya di luar mahkamah.
GEORGE TOWN:
Naib Presiden MCA Tan Teik Cheng memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa komentarnya mengenai Lim Guan Eng dan pembiayaan sebuah sekolah Cina, tahun lalu, bukan fitnah sebaliknya satu ulasan wajar.

Tan berkata, artikel itu ditulis selepas Lim dengan gah mengatakan ketika kempen pilihan raya negeri Johor, bahawa beliau sebagai menteri kewangan memberikan peruntukan RM4 juta kepada SJK (C) Kuek Ho Yao. Katanya, Lim kemudian mendakwa MCA dan Presidennya Wee Ka Siong tidak berbuat apa-apa untuk sekolah itu.

“Dalam komentar itu saya mengajukan soalan kepada Lim. Ia sekadar soalan, kenapa nama (sekolah itu) perlu ditukar untuk mendapat peruntukan (RM4 juta)?

“Tidakkah kami dibenarkan bertanya? Soalan itu bukan berniat jahat. Ini tidak akan berlaku jika DAP tidak menyerang Wee,” katanya dengan menambah tidak menyimpan sebarang dendam terhadap Lim yang pernah menjadi ketua menteri dan menteri kewangan.

Tan, yang dinamakan sebagai defendan dalam saman fitnah dikemukakan pemimpin DAP itu berkata, beliau menerima maklumat boleh dipercayai bahawa sekolah berkenaan bersetuju menambah nama projek pemaju kepada SJK (C) Kuek Ho Yao sebagai syarat untuk mendapat RM4 juta daripada Lim.

Lim yang turut menamakan akhbar The Star sebagai defendan dalam saman itu, menafikan dakwaan berkenaan dalam keterangannya di mahkamah, semalam. Beliau menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan, selain permohonan maaf daripada defendan.

Sekolah itu yang kini dikenali sebagai SJK (C) Kuek Ho Yao @ Eco Spring, terletak di UMLand Seri Austin, Johor, dinamakan sempena Kuek yang juga pemimpin masyarakat Cina disegani.

The Star yang menggunakan pembelaan ulasan wajar berkata, komentar Tan itu diterbitkan sebagai surat kepada pengarang yang perlu digunakan segera kerana berkait dengan pilihan raya negeri.

Perbicaraan di hadapan Hakim Quay Chew Soon bersambung esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.