Mahkamah arah lucut hak RM3.4 juta libat 533 pelanggan telco

Mahkamah arah lucut hak RM3.4 juta libat 533 pelanggan telco

Pelanggan itu dipercayai membeli kad prabayar untuk menjalankan aktiviti haram.

Pada Februari 2021, SPRM membekukan RM4.24 juta deposit yang dipegang DiGi kerana disyaki ia dikaitkan aktiviti haram, termasuk perjudian dalam talian dan pelacuran.
SHAH ALAM:
Mahkamah Sesyen membenarkan kerajaan melucut hak RM3.4 juta melibatkan 533 pelanggan sebuah syarikat telekomunikasi.

Pelanggan itu dipercayai membeli kad prabayar untuk menjalankan aktiviti haram.

Hakim Rozilah Salleh yang membenarkan permohonan itu, berkata beliau berpuas hati dengan pihak pendakwaan yang memenuhi semua syarat untuk wang itu disita.

Susulan laporan pada 2020, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan bantuan DiGi Telecommunications Sdn Bhd menjalankan siasatan ke atas pembelian 773 kad oleh 593 pelanggan yang melibatkan sejumlah besar deposit wang.

Penyiasat percaya wang itu digunakan bagi tujuan pertaruhan dalam talian dan aktiviti pelacuran.

Pada Februari 2021, SPRM membekukan sejumlah RM4.24 juta yang dipegang syarikat itu.

Seramai 60 pelanggan, yang memegang 127 kad, memberi respon kepada penyiasat dan syarikat, dan berjaya membuktikan bahawa pembelian dibuat untuk tujuan sah.

Kira-kira RM835,000 dipulangkan kepada mereka.

Bagaimanapun, 533 yang lain yang secara kolektif membayar RM3.4 juta gagal memberi respon, menyebabkan SPRM memfailkan permohonan pada Januari tahun ini untuk melucut hak wang itu.

DiGi, yang dinamakan sebagai responden bagi permohonan pelucuthakan, tidak membantah permohonan itu. Syarikat itu diwakili oleh peguam kanannya, V Muraliharan.

Timbalan Pendakwa Raya Allan Suman Pillai dan Shahrom Idris mewakili SPRM.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.