RM169 juta berkait Ismail Sabri, bekas pembantunya dilucut hak

RM169 juta berkait Ismail Sabri, bekas pembantunya dilucut hak

Ismail Sabri Yaakob dan Anuar Yunus tidak membantah wang itu dilucut hak.

ismail sabri yaakob
Pada 7 Julai lalu, SPRM memfailkan permohonan lucut hak wang tunai RM169 juta yang didakwa ada kaitan dengan bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob dan bekas setiausaha politiknya Anuar Yunus.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan supaya wang tunai berjumlah RM169 juta yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob dan bekas setiausaha politiknya Anuar Yunus dilucut hak kepada kerajaan.

Hakim Suzana Hussin membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang tidak dibantah Ismail dan Anuar.

Beliau juga berkata tiada pihak ketiga tampil menuntut wang berkenaan, walaupun notis awam telah dikeluarkan bulan lalu.

“Mahkamah membenarkan permohonan pelucuthakan oleh pemohon (SPRM) di bawah Seksyen 41(1) Akta SPRM 2009,” katanya.

Terdahulu ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Jumaat memaklumkan bahawa notis warta telah diterbitkan pada 22 Sept, namun sehingga pagi ini tiada sebarang tuntutan dibuat.

SPRM memfailkan permohonan pelucuthakan itu pada 7 Julai, selepas siasatan mendapati dana yang dipegang oleh Anuar mempunyai kaitan dengan Ismail serta berkaitan dengan satu kesalahan di bawah Seksyen 36(2) Akta SPRM.

Ia termasuk wang tunai RM14,772,150, SGD6,132,350, USD1,461,400, CHF3 juta, €12,164,150, 363,000,000 yen, £50,250, NZD44,600, AUD352,850 dan AED34,750,000 (emirati dirham).

Ismail dan Anuar diwakili peguam Ragunath Kesavan dan Joshua Teh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.