
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, berkata kajian itu turut melibatkan cadangan membenarkan warga asing hanya memiliki dua nombor prabayar tanpa mengambil kira syarikat telekomunikasi digunakan.
Beliau berkata, proses rundingan itu dijangka selesai hujung November ini dan SKMM menyasarkan garis panduan baharu dapat dikuat kuasa suku pertama tahun hadapan.
“Dengan mengetatkan garis panduan ini, kita berharap dapat mengurangkan penyalahgunaan kad SIM prabayar yang sering digunakan untuk mendaftar akaun media sosial bagi tujuan penipuan, penyebaran maklumat palsu atau ugutan,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat.
Teo berkata, berdasarkan garis panduan sedia ada yang ditetapkan sejak 2017, setiap individu dibenarkan mendaftar sehingga lima nombor prabayar bagi setiap syarikat telekomunikasi.
“Ini bermaksud seseorang boleh mempunyai lima nombor daripada Maxis, lima daripada Celcom, lima daripada Digi, lima daripada U Mobile, dan lima daripada YTL…ini menjadikan jumlah nombor kad SIM yang agak besar untuk satu individu,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Dr Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) berhubung cadangan kerajaan merangka dasar penggunaan kecerdasan buatan secara beretika dan langkah mengukuhkan keupayaan forensik digital di bawah SKMM.