Manipulasi saham, hukuman penjara Repco Low dikurang, denda kekal

Manipulasi saham, hukuman penjara Repco Low dikurang, denda kekal

Hakim memutuskan hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen pada 2016 berlebihan.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengekalkan denda RM5 juta yang dikenakan terhadap Low Thiam Hock (tengah). (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi di sini mengurangkan hukuman penjara lima tahun kepada setahun terhadap bekas pengerusi eksekutif Repco Holdings Bhd, Low Thiam Hock yang didapati bersalah memanipulasi pasaran dalam dagangan saham syarikat itu.

Hakim Azhar Abdul Hamid dalam keputusannya mendapati hukuman penjara lima tahun terhadap Low, 60, atau lebih dikenali sebagai “Repco Low” yang diputuskan Mahkamah Sesyen pada 29 Feb 2016 berlebihan.

Bagaimanapun, Azhar mengekalkan hukuman denda RM5 juta yang dikenakan terhadap Low.

“Setelah saya meneliti rekod rayuan dan hujahan bertulis serta lisan daripada kedua-dua pihak, saya bersetuju dengan hujahan pihak responden (pendakwaan) dan isu yang ditimbulkan dalam rayuan ini.

“Saya dapati sabitan terhadap perayu (Low) selamat. Oleh itu, rayuan terhadap sabitan ditolak dan sabitan terhadap perayu dikekalkan.”

Azhar membenarkan permohonan Low menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda, sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

“Saya membenarkan permohonan penangguhan dan mengekalkan syarat jaminan terdahulu, iaitu jaminan RM1.3 juta dan pasport diserahkan kepada mahkamah.”

Terdahulu, peguam Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Low memohon penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda, sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Timbalan Pendakwa Raya, Shoba Venu Gobal membantah permohonan itu kerana tiada keadaan khas memerlukan penangguhan.

“Sekiranya mahkamah membenarkan penangguhan, maka kami mencadangkan jumlah jaminan RM1.3 juta sebelum ini ditambah sebanyak RM1 juta, syarat tambahan iaitu pasport diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh perlu melaporkan diri kepada pegawai penyiasat sekurang-kurangnya sebulan sekali.”

Shafee berhujah, jumlah jaminan RM1.3 juta terlalu besar dan jaminan hanya dikenakan untuk memastikan kehadiran di mahkamah.

Pada 29 Feb 2016, Hakim Mahkamah Sesyen, Mat Ghani Abdullah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan denda RM5 juta terhadap Low, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan Low menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda, sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi, dengan menaikkan jumlah jaminan daripada RM300,000 kepada RM1.3 juta.

Pada 1999, Low didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan mengarahkan seorang wakil Sime Securities Sdn Bhd membeli saham Repco dengan menyerap apa-apa harga tawaran saham itu yang ditawarkan penjual saham di Bursa Saham Kuala Lumpur.

Perbuatan yang didakwa boleh menimbulkan kekeliruan berhubung harga saham Repco di pasaran itu dilakukan di Sime Securities, Tingkat 21, Bangunan Sime Bank, Jalan Sultan Sulaiman di sini, antara 11 pagi dan 5 petang 3 Dis 1997.

Low, dari Kota Kinabalu, didakwa mengikut Seksyen 84(1) Akta Industri Sekuriti 1983 yang dibaca bersama Seksyen 88(b) akta sama yang memperuntukkan denda minimum RM1 juta dan penjara hingga 10 tahun.

Pada 14 Nov 2006, Mahkamah Sesyen melepaskan Low tanpa dipanggil membela diri, selepas mendapati pertuduhan itu cacat, tetapi Mahkamah Tinggi pada 15 Okt 2010 menolak rayuan pendakwaan serta mengekalkan pembebasannya.

Pada 28 Feb 2013, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan mengembalikan kes itu ke Mahkamah Sesyen untuk Low membela diri atas pertuduhan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.