Rusuhan kuil: Pendakwaan tutup kes selepas 4 tahun

Rusuhan kuil: Pendakwaan tutup kes selepas 4 tahun

Majistret Iskandar Zainol mengarahkan pendakwaan dan pembelaan memfailkan hujahan mereka sebelum 3 April.

Rusuhan pada 2018 itu turut mengakibatkan kematian seorang anggota bomba.
PETALING JAYA:
Pendakwaan dalam kes rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, menutup kesnya selepas empat tahun.

Pegawai penyiasat Ali Yusran menjadi saksi terakhir memberi keterangan sebelum Timbalan Pendakwa Raya Wafi Husain memaklumkan Majistret Iskandar Zainol bahawa pihaknya menutup kesnya.

Peguam bela Kirthiraj Rajasundram yang mewakili Saifullah Abdullah berkata, kira-kira 20 saksi memberi keterangan untuk pendakwaan sejak perbicaraan bermula pada 2019.

“Majistret mengarahkan pendakwaan dan pembelaan memfailkan hujahan mereka sebelum 3 April,” katanya kepada FMT.

Selain Saifullah, 16 lain yang didakwa ialah Riduan Sekh Ruslan, Irwan Noordin, Khairi Abdul Rashid, Rozaihan Zakaria, Qayyum Mohd Faisal, Ashraf Mohd Faizal, Absal Eastrie Abdullah, Jalil Talib, Khairol Anuar Zabidi, Zamri Md Said, Shukri Razali, Nor Azmi Abdul Ghani, Shahril Danniel Sajeel, Hasneezam Shah Samsudin, Akmal Izzat Azi and Norul Ismawi Islahuddin.

Semua tertuduh berusia antara 24 hingga 47 tahun itu didakwa merusuh dan memiliki senjata berbahaya, antara jam 2 pagi hingga 5 pagi pada 26 November 2018.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara lima tahun, atau denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Semua tertuduh dibebaskan dengan jaminan.

Kejadian itu turut meragut nyawa seorang anggota bomba, Adib Kassim, yang cedera di tempat kejadian sebelum meninggal dunia sebulan kemudian di Institut Jantung Negara.

Pada 2019, mahkamah koroner memutuskan kematian Adib disebabkan perbuatan jenayah membabitkan dua atau lebih individu tidak dikenali.

Pada Jun tahun lalu, bapa Adib, Kassim Abdul Hamid, menarik balik permohonan komital terhadap bekas Peguam Negara Tommy Thomas melibatkan kenyataannya berhubung prosiding inkues berkenaan.

Kassim memfailkan permohonan komital terhadap Thomas kerana didakwa menghina mahkamah apabila memfailkan afidavit pada 3 April 2019 yang menunjukkan kematian Adib bukan diakibatkan kecederaan oleh seseorang.

Kassim turut menuduh Thomas menghina mahkamah apabila mengeluarkan kenyataan media pada 28 Mei 2019, ketika inkues masih berlangsung.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.