Ceroboh tanah turut babit kegiatan pertanian, kilang haram, kata MB Selangor

Ceroboh tanah turut babit kegiatan pertanian, kilang haram, kata MB Selangor

Amirudin Shari berkata tindakan penguatkuasaan terhadap pencerobohan tanah dilaksanakan secara menyeluruh.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari bernama pic 22426
Amirudin Shari berkata kerajaan negeri aktif merobohkan hilang haram dalam tempoh belasan tahun lalu. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Kerajaan Selangor menegaskan isu pencerobohan tanah turut melibatkan aktiviti pertanian, komersial dan pembinaan kilang haram yang kini menjadi antara tumpuan utama penguatkuasaan negeri.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, berkata tindakan terhadap pencerobohan tanah perlu dilaksanakan secara menyeluruh kerana ia melibatkan pelbagai bentuk penggunaan tanah secara tidak sah, sama ada di atas tanah kerajaan atau tanah milik persendirian.

“Pencerobohan ini bukan hanya membabitkan kuil atau rumah ibadat, tetapi juga aktiviti pertanian, komersial, kilang dan sebagainya.

“Sebenarnya dalam tempoh belasan tahun lalu, kita sangat aktif merobohkan kilang haram.

“Walaupun tindakan itu tidak popular, saya percaya ia adalah langkah yang betul demi memastikan undang-undang dan peraturan dapat dikuatkuasakan,” katanya pada sesi jawab lisan DUN Selangor.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd Zamri Mohd Zainuldin (PN-Sungai Burong) berhubung isu pencerobohan tanah di Selangor.

Amirudin berkata bagi isu rumah ibadat yang terletak di atas tanah persendirian, kerajaan negeri mengambil pendekatan lebih berhati-hati kerana ia melibatkan sensitiviti agama dan keharmonian masyarakat.

Katanya, tindakan yang dibuat secara tergesa-gesa tanpa rundingan serta tanpa menghormati ritual keagamaan boleh mencetuskan ketegangan yang tidak diingini.

Sehubungan itu, kerajaan negeri mengaktifkan Jawatankuasa Keselamatan Daerah (JKKD) yang dipengerusikan pegawai daerah untuk bertindak sebagai orang tengah antara pemilik tanah, pihak berkuasa tempatan, pejabat tanah dan polis.

Menurutnya, jawatankuasa itu berperanan membantu menyelesaikan isu pencerobohan secara aman, khususnya apabila melibatkan rumah ibadat yang telah lama bertapak di sesuatu kawasan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.